Tular ditegur penguatkuasa JAHEAIK: Suami isteri lapor polis

Nor Elissa Julia menunjukkan status yang dimuat naik di Facebook pada hari sama kejadian itu.
Nor Elissa Julia menunjukkan status yang dimuat naik di Facebook pada hari sama kejadian itu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pasangan suami isteri yang terbabit dalam serbuan pejabat agama di Pantai Nami, Senok, Bachok membuat laporan polis semalam berhubung insiden diserbu penguatkuasa itu ketika bergambar mesra, Jumaat lalu.

Laporan dibuat di Balai Polis Pengkalan Chepa, di sini, jam 9.30 malam oleh pasangan terbabit, Tengku Haidiel Shah Tengku Shahudin, 24, dan isteri, Nor Elissa Julia Norhisham, 22.

Nor Elissa Julia yang bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan itu berkata, dia dan suami mengambil keputusan membuat laporan polis kerana pihak jabatan agama masih tidak memohon maaf terhadap insiden Jumaat lalu itu.

“Laporan polis yang dibuat jabatan agama memalukan kami dan mereka dakwa sudah mohon maaf kepada kami, padahal sebaliknya.

"Mereka (jabatan agama) juga nafi menegur kami secara kasar, kami mahu selesaikan perkara ini dengan baik, tapi jabatan agama membuat laporan polis seolah-olah kami bersalah,” katanya.

Pasangan ini yang bergambar mesra antara mereka.
Pasangan ini yang bergambar mesra antara mereka.

Laporan polis itu susulan daripada laporan polis yang dibuat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) sebelum ini.

“Kami hanya mahu mereka mohon maaf dan tak mahu perkara ini berpanjangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pada masa sama, dia juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi emel semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Jaheaik buat laporan polis

Sinar Harian semalam melaporkan pasangan tersebut yang baru sebulan berkahwin pada 8 Februari lalu melahirkan rasa kesal terhadap tindakan sekumpulan lima lelaki termasuk anggota penguatkuasa agama yang menyerbu mereka pada Operasi Tidak Sopan dan Khalwat di Pantai Senok, Bachok, Jumaat lalu.

Mereka yang sedang bergambar dengan ditemani dua adik lelaki Nor Elissa Julia yang berusia 16 dan 17 tahun didatangi penguatkuasa yang dikatakan merakam gambar dan didakwa menegur perlakuan serta bertanyakan status hubungan mereka pada jam 6.08 petang.

Insiden tular di laman sosial selepas wanita berkenaan memuat naik status yang turut mendapat 4,000 tanda suka, lebih 6,500 perkongsian dan pelbagai reaksi daripada netizen.