Pindaan enakmen penyu kemenangan moral untuk pejuang konservasi

Sidang DUN Terengganu minggu lepas meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021), yang antara lain akan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan spesies hidupan marin itu. - Foto Bernama
Sidang DUN Terengganu minggu lepas meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021), yang antara lain akan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan spesies hidupan marin itu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Larangan penjualan semua spesies telur penyu yang akan dikuatkuasakan pada 1 Jun depan merupakan satu kemenangan moral dalam perjuangan panjang sejarah konservasi penyu khususnya di Terengganu.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu, Dr Mohd Uzair Rusli berkata, perjuangan itu telah melangkaui tiga generasi sejak penubuhan Unit Penyelidikan Penyu pada 1984.

"Kita sedar budaya memakan telur penyu ini amat sebati dengan warga tempatan dan banyak cabaran perlu dihadapi semua pihak yang terlibat untuk meyakinkan peminat telur penyu bahawa apa yang diamalkan selama ini adalah tidak lestari malah akan menjejaskan kestabilan ekosistem marin negara.

"Kami mula melihat tanda positif perubahan masyarakat sejak akhir-akhir ini dan dalam masa sama kerajaan negeri Terengganu amat serius dalam mengimplimentasikan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) yang turut menggariskan kelestarian alam sekitar yang disambut baik pelbagai pihak," katanya yang dihubungi Bernama pada Jumaat.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu pada minggu lepas telah meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021), yang antara lain akan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan spesies hidupan marin itu.

Pindaan itu bertujuan melindungi dan mengelakkan kepupusan semua spesies penyu termasuk tuntung laut sekali gus meningkatkan jumlah denda yang lebih tinggi terhadap kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu iaitu RM50,000 hingga RM250,000 berbanding hanya RM3,000 sebelum ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penyu merupakan tarikan semula jadi pelancong ke Terengganu dan langkah kerajaan negeri yang bersifat prokonservasi ini dilihat mampu memperbaiki kembali imej Terengganu yang sebelum ini terpalit dengan isu hab jualan telur penyu.

"Justeru, kami merasakan langkah meminda enakmen pada tahun ini merupakan tindakan yang amat tepat dan dinantikan oleh kesemua pihak berkepentingan yang terlibat dalam usaha memelihara penyu.

Artikel Berkaitan:

"Selain penyu, mereka yang terlibat dalam penawaran produk pelancongan berasaskan penyu juga akan mendapat impak ekonomi yang berganda dan lestari pada masa hadapan," katanya.

Menurut Mohd Uzair, UMT komited untuk membantu Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dalam usaha advokasi awam sebelum penguatkuasaan penuh pindaan enakmen itu pada Jun 2022.

"Selain itu, kami juga perlu membantu Jabatan Pelancongan dan beberapa agensi lain dalam memperkemas kaedah-kaedah dan peraturan yang terlibat dalam pelancongan berasaskan penyu ini demi memastikan produk pelancongan ini tidak menjejaskan alam sekitar dan juga keselamatan pelancong khususnya di dalam kawasan taman laut," katanya. - Bernama