IHP naik 2.9 peratus pada Oktober 2021

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

INDEKS Harga Pengguna (IHP) Malaysia menunjukkan peningkatan 2.9 peratus tahun ke tahun kepada 123.7 pada Oktober 2021 berbanding 120.2 pada bulan yang sama 2020.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), IHP, kaedah yang digunakan untuk mengukur inflasi, meningkat berikutan kenaikan harga petrol dan penamatan diskaun elektrik pada September 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan ini disebabkan terutama oleh peningkatan dua digit, 11.3 peratus dalam kumpulan pengangkutan.

“Selaras dengan kenaikan harga minyak global, harga purata RON97 juga meningkat kepada RM2.84 daripada RM1.97 pada Oktober 2020.

“Pada masa yang sama, indeks bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat 3.2 peratus dengan kenaikan tertinggi dicatatkan oleh subkumpulan elektrik, gas dan bahan api lain (27.6 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ia bagi mengulas mengenai IHP Malaysia Oktober 2021 berdasarkan pungutan harga pengguna yang dilaksanakan secara bulanan bagi barangan dan perkhidmatan, yang dikeluarkan DOSM.

Beliau berkata, indeks hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.1 peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (1.9 peratus) juga menyumbang kepada kenaikan inflasi keseluruhan.

Kumpulan lain, restoran dan hotel; minuman alkohol dan tembakau; perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan; dan kesihatan merekodkan peningkatan marginal antara 0.2 peratus dengan 0.6 peratus, katanya.

Artikel Berkaitan:

“Komunikasi kekal tidak berubah manakala pakaian dan kasut serta pelbagai barangan dan perkhidmatan masing-masing menurun 0.4 peratus dan 0.2 peratus. Pendidikan juga merekodkan penurunan marginal 0.1 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata, secara keseluruhan, kesemua negeri telah mencatatkan peningkatan IHP pada Oktober 2021 dengan sembilan negeri iaitu Terengganu (3.9 peratus), Pahang (3.7 peratus), Kelantan (3.6 peratus), Perak (3.4 peratus), Negeri Sembilan (3.2 peratus), Kedah dan Perlis (3.2 peratus), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.1 peratus), Johor (3.1 peratus) dan Melaka (3.1 peratus) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 2.9 peratus pada Oktober 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

“Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.7 peratus), diikuti oleh Terengganu (2.6 peratus), Pahang (2.5 peratus), Kelantan (2.4 peratus), Perak (2.4 peratus), Johor (2.2 peratus), Melaka (2.0 peratus) dan Negeri Sembilan (1.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata, sementara itu, negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol nasional iaitu 1.9 peratus pada Oktober 2021.

Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.7 peratus berbanding September 2021 susulan kenaikan dalam perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.5 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.4 peratus), katanya.

Beliau berkata, pelbagai barangan dan perkhidmatan serta restoran dan hotel merekodkan peningkatan marginal 0.3 peratus.

“Kenaikan ini adalah kesan daripada penamatan diskaun bil elektrik bulanan yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) untuk tempoh tiga bulan yang berakhir pada 30 September 2021,” katanya.

Mohd Uzir berkata, IHP bagi tempoh Januari hingga Oktober 2021 menunjukkan peningkatan 2.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Selain itu, beliau berkata, indeks teras meningkat 0.7 peratus pada Oktober 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah rumah (2.1 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (1.2 peratus); pengangkutan (1.1 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.6 peratus); restoran dan hotel (0.6 peratus); kesihatan (0.2 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.2 peratus), katanya.

“Indeks teras meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali item makanan segar yang mempunyai harga tidak menentu serta harga yang dikawal,” katanya.

Sementara itu, IHP tanpa bahan api meningkat 1.5 peratus pada Oktober 2021 kepada 114.3 berbanding 112.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel.

Mohd Uzir berkata, inflasi pada bulan seterusnya juga akan dipengaruhi oleh faktor luaran seperti kenaikan kedua-dua harga minyak dunia dan harga makanan.

Tambahan pula, pembukaan perjalanan rentas negeri dijangka memberi kesan bagi beberapa kumpulan berkaitan pelancongan, katanya. - Bernama