Banjir kilat: KDEBWM kutip 100 tan sampah

KDEBWM menjalankan kerja kutipan sampah dan pembersihan berikutan kejadian banjir kilat yang melanda Lembah Jaya Utara dan Kampung Melayu Ampang, pada Isnin.
KDEBWM menjalankan kerja kutipan sampah dan pembersihan berikutan kejadian banjir kilat yang melanda Lembah Jaya Utara dan Kampung Melayu Ampang, pada Isnin.
A
A
A

AMPANG - Kira-kira 100 tan sampah dikutip bagi kerja-kerja pembersihan berikutan kejadian banjir kilat yang melanda Lembah Jaya Utara dan Kampung Melayu Ampang pada Isnin.

Ketua Perhubungan Awam dan Media KDEB Waste Management (KDEBWM), Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, jumlah kutipan itu berdasarkan operasi dijalankan selama tiga hari di kawasan terbabit.

Menurutnya, operasi pembersihan yang dijalankan KDEBWM Cawangan Ampang Jaya itu tertumpu kepada bantuan pembersihan dan kediaman mangsa-mangsa banjir serta kutipan sampah pukal.

"Sebanyak 78 buah lori Armroll dan lebih 70 petugas pembersihan telah terlibat. Kira-kira 100 tan sampah telah dikutip sepanjang tiga hari operasi dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mahfuzah memberitahu, KDEBWM juga menggerakkan dan menyediakan sebuah lori High Pressure Water Jetter KDEBWM bagi tujuan pembersihan jalan dan kediaman penduduk.

"Selain Lembah Jaya Utara, bantuan turut dijalankan di Kampung Melayu Ampang bagi membersihkan longkang yang dilimpahi sampah berpunca dari sungai berdekatan pada Selasa lalu yang melibatkan sebuah lori Armroll dan 10 orang krew," ujar beliau.

Jelas beliau, operasi bantuan itu akan terus dijalankan oleh KDEBWM Cawangan Ampang Jaya bagi memberi bantuan dan sokongan terutamanya kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam usaha pemulihan dan bantuan kepada mangsa banjir di Lembah Jaya Utara.

"KDEBWM berharap mangsa yang terlibat akan terus bertabah dalam menghadapi situasi mencabar ini.

Artikel Berkaitan:

"KDEBWM selaku syarikat yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor sentiasa bersedia membantu semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi usaha-usaha bantuan krisis seumpama ini," jelasnya.