Ladang Lestari 2523 tingkat pendapatan peneroka Felda

Idris (kanan) melakukan gimik pelancaran inisiatif Ladang Lestari 2523 sempena Hari Produktiviti dan Kualiti Perladangan 2021 di Kilang Sawit FGV Moakil, Segamat pada Khamis
Idris (kanan) melakukan gimik pelancaran inisiatif Ladang Lestari 2523 sempena Hari Produktiviti dan Kualiti Perladangan 2021 di Kilang Sawit FGV Moakil, Segamat pada Khamis
A
A
A

SEGAMAT - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menyasarkan peningkatan pendapatan peneroka sebanyak RM5,000 pada 2023 menerusi inisiatif Ladang Lestari 2523.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, berdasarkan inisiatif itu, pihaknya menyasarkan produktiviti ladang peneroka bagi buah tandan segar sebanyak 25 tan sehektar setahun serta kadar perahan minyak (OER) setinggi 23 peratus menjelang 2025.

"Kalau dulu sebut 25 tan, orang akan pelik dan terlalu tinggi, begitu juga dengan OER 23 peratus ada yang geleng kepala. Tetapi kini saya difahamkan OER di Kilang Sawit FGV Moakil telah meningkat kepada 24 peratus. Sebab itu saya yakin ladang-ladang Felda mampu mencapai sasaran ini.

“Menerusi inisiatif ini, permuafakatan antara kilang dan peneroka akan meningkatkan lagi hasil produktiviti dan kualiti hasil ladang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Ladang Lestari 2523 sempena sambutan Hari Produktiviti dan Kualiti Perladangan Felda 2021 di Felda Maokil, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi FGV Holdings Berhad, Datuk Dzulkifli Abd Wahab, Pengurus Kilang Sawit Maokil, Abdul Rauf Salleh dan Ketua Peneroka Kebangsaan, Sulung Jamil Mohamed Shariff.

Menurut Idris, inisiatif Ladang Lestari 2523 mampu mengurangkan 50 peratus kebergantungan kepada buruh asing dan kos operasi sebanyak 20 peratus.

Idris berkata, inisiatif itu juga akan memperkasa pengurusan ladang dengan penggunaan teknologi pintar selari dengan Revolusi Industri 4.0 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Artikel Berkaitan:

Demonstrasi penggredan buah tandan segar di Kilang Sawit FGV Maokil di Segamat, Johor.
Demonstrasi penggredan buah tandan segar di Kilang Sawit FGV Maokil di Segamat, Johor.

Menurut beliau, bagi tujuan itu Felda telah melaksanakan beberapa kaedah antaranya sistem Penyelesaian Pengurusan Perladangan Pintar (SPMS), memperkenalkan baka biji benih sawit baharu 'Yangambi 3-way' yang lebih produktif, penggunaan baja pintar serta amalan pertanian baik yang lain.

"Felda turut memperkenalkan strategi bagi menyokong usaha peningkatan hasil iaitu melalui pematuhan terhadap Manual Pengurusan Kebun Lestari dan penggunaan bahan pertanian berkualiti premium selain menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi dalam operasi ladang," katanya.

Beliau menambah, bagi strategi penuaian hasil pula akan memfokuskan kepada pengurangan ketirisan hasil di ladang, memastikan hasil kebun peneroka dihantar ke kilang Felda dan mengekalkan pematuhan minyak sawit mampan Malaysia (MSPO) sebagai langkah sokongan terhadap rundingan meja bulat minyak sawit mampan (RSPO) iaitu standard akreditasi antarabangsa supaya minyak sawit dapat dieksport tanpa sekatan.

"Felda turut melaksanakan konsolidasi syarikat pengurusan ladang peneroka yang kini dikenali sebagai Felda Plantation Management Sdn Bhd, merencanakan pengurusan bersepadu melalui Program 1 S.O.P iaitu 'Satu Sistem, Satu Operasi dan Satu Pasukan' dengan menekankan kepada pemerkasaan pengurusan wilayah dan rancangan ke arah menjadi pengendali perladangan kos terendah.

Amiruddin (kanan) dan Mohd Fiqrul Amerullah antara penerima anugerah sempena Hari Produktiviti dan Kualiti Perladangan 2021 di Kilang Sawit FGV Moakil, Segamat pada Khamis.
Amiruddin (kanan) dan Mohd Fiqrul Amerullah antara penerima anugerah sempena Hari Produktiviti dan Kualiti Perladangan 2021 di Kilang Sawit FGV Moakil, Segamat pada Khamis.

"Felda juga akan menjadikan Kilang Sawit FGV Moakil sebagai model bagi pengurusan buah tandan segar peneroka yang lebih mampan," katanya.

Sementara itu bagi Pengurus Felda Bersaut 5, Wilayah Trolak Perak, Amiruddin Abu Kassim, 42, bersyukur atas anugerah hasil sawit tertinggi lot peneroka 2020 dan 2021 yang diterima.

"Terima kasih kepada Felda di atas anugerah ini. Hari Produktiviti dan Kualiti Perladangan Felda 2021 merupakan medium terbaik untuk Felda memberi penghargaan kepada rancangan Felda yang mendapat hasil tertinggi," katanya.

Pengurus Felda Maokil 2,3,4 Segamat, Mohd Fiqrul Amerullah Baharudin, 35, pula berterima kasih di atas anugerah buah tandan segar (BTS) muda terendah wilayah Segamat tahun 2020 dan 2021 yang diterima.

"Alhamdulilah anugerah BTS muda ini dapat meningkatkan lagi produktiviti dan pengeluaran minyak kelapa sawit serta dapat perahan yang tinggi," katanya.