AKM 100 hari: KPWKM berjaya lahir 2,194 usahawan wanita

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inisiatif Wanita Bangkit yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari telah berjaya melahirkan seramai 2,194 usahawan wanita, selain membolehkan 557 orang lagi mendapat pekerjaan.

Ketua Setiausaha KPWKM, Dr Maziah Che Yusoff berkata, mereka ditawarkan peluang kerjaya dan berniaga oleh beberapa agensi dan syarikat swasta yang berkolaboratif dengan pihak kementerian untuk menjayakan inisiatif berkenaan.

Antara yang giat menawarkan peluang terbabit ialah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), MyKasih Kapital di bawah Yayasan Kebajikan Negara, TalentCorp Malaysia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Kementerian Sumber Manusia serta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Tawaran juga diberikan syarikat Richworks International Sdn Bhd, HEYHO Sdn Bhd, DSAB Holdings Sdn Bhd, UniKL Sdn Bhd, Leong Hup International Berhad dan Shukor Dagang Sdn Bhd.

"MyKasih Kapital contohnya menyediakan suntikan modal perniagaan bagi menggalakkan kaum wanita berniaga terutama yang telah terlibat dalam bidang e-dagang atau dropship (pesan hantar) dan lain-lain perniagaan.

"LPPKN pula membantu wanita dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan melalui program MamaCare dengan memberikan mereka latihan kapasiti yang sistematik dan profesional dalam bidang perkhidmatan penjagaan holistik ibu selepas bersalin," katanya dalam kenyataan mengenai AKM 100 Hari KPWKM pada Jumaat.

Maziah berkata, inisiatif Wanita Bangkit adalah antara lima program AKM yang diangkat kementerian untuk menyokong acuan Keluarga Malaysia yang berkonsepkan keterangkuman (inclusivity), kebersamaan (common ground) dan kesyukuran (contentment).

Inisiatif lain ialah menyediakan bantuan advokasi bagi menangani isu keganasan wanita melalui program Skuad Waja (We Vaw), memberikan sokongan sosial kepada masyarakat melalui penubuhan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), mewujudkan talian Toll Free Helpline Family Care @ LPPKN bagi keluarga yang terjejas akibat Covid-19 serta mendaftarkan golongan orang kurang upaya (OKU) dengan Kad OKU Digital menerusi program MyDAFTAR OKU.

Artikel Berkaitan:

Maziah berkata, di bawah program MyDAFTAR OKU, sebanyak 2,350 pendaftaran Kad OKU Digital telah diluluskan, melebihi jumlah sasaran 2,000 yang ditetapkan manakala 2,582 permohonan lagi akan diproses dalam unjuran bermula 16 November hingga 9 Disember tahun ini.

Sementara itu bagi program Skuad Waja (We Vaw), menurutnya seramai 164,264 individu telah diberikan advokasi mengenai keganasan terhadap wanita; 91,601 orang didedahkan advokasi Skuad Waja; 22,186 (advokasi Klinik Destress) dan 11,161 (advokasi Klinik Undang-Undang).

Melalui program Toll Free Helpline Family Care @ LPPKN pula, sebanyak 1,327 kes rumah tangga telah dapat diselesaikan dan 396 kes lagi akan diselesaikan dalam tempoh hingga 9 Disember.

"Talian ini diwujudkan sebagai penghubung kepada masalah-masalah rumah tangga supaya ia dapat disalurkan secara terus kepada KPWKM.

"Kaunselor LPPKN yang mengendalikannya merupakan kaunselor terlatih dan berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia. Mereka mengendalikan kes-kes klien mengikut etika kaunseling yang telah ditetapkan dan semua maklumat yang dikongsikan oleh klien adalah dirahsiakan," katanya.

Selari dengan komitmen untuk membolehkan orang awam mengakses bantuan segera berkaitan isu-isu sosial, KPWKM juga telah mewujudkan sebuah premis PSSS di Bangunan Ehsan, Jalan Hang Lekiu, di sini bagi melengkapi empat unit PSSS bergerak. - Bernama