X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Kawasan parkir bukan zon pacak khemah

Gelagat sekumpulan anak muda mendirikan khemah di kawasan parkir yang dikhususkan untuk meletakkan bas di Genting Highlands.
A
A

MACAM orang baru keluar gua. Itu reaksi sahabat Merak Jalanan apabila melihat gelagat sekumpulan anak muda mendirikan khemah di kawasan parkir yang dikhususkan untuk meletakkan bas di Genting Highlands.

Bukan sahaja di lot parkir, malah ada juga yang besar kepala dan perasan hebat apabila mendirikan khemah di tepi jalan termasuk kawasan stesen minyak sambil menikmati kopi serta mi segera.

Menurut sahabat Merak Jalanan, dia berasa semak dan mood percutiannya di Genting Highlands sedikit terganggu melihat gelagat tersebut.

Katanya, anak-anak muda zaman sekarang mudah terpengaruh dan suka mengikuti segala trend yang dikeluarkan sebagai kandungan di TikTok.

Bagi Merak Jalanan, bukan semua trend di TikTok boleh dilakukan di tempat awam. Lagi pun tindakan mendirikan khemah di lot parkir bukan sahaja menyusahkan orang lain, malah turut membahayakan nyawa sendiri.

Faham-faham sajalah, jika sudah berkumpul, sisa makanan dan sampah akan ‘menghiasi’ kawasan tersebut yang ditinggalkan individu tidak bertanggungjawab.

Selain itu, tindakan berkumpul seperti ini menimbulkan kegusaran awam terutama kepada penduduk tempatan.

Malah, tidak keterlaluan mereka yang mendirikan khemah di tepi jalan akan menyumbang kepada jumlah kecederaan atau kematian jika kenderaan terbabas di kawasan berkenaan.

Yang pasti, perbuatan itu mengundang pelbagai reaksi warganet selepas melihat perkongsian ‘aktiviti haram’ tersebut dimuat naik di platform media sosial.

Diharap pihak berkuasa dan pihak Genting Highlands sendiri akan memperketat lagi kawalan keselamatan supaya trend itu tidak menjadi-jadi serta berpanjangan.

Pesan Merak Jalanan, carilah kawasan sesuai untuk pacak khemah. Jangan ganggu mood orang lain terutama yang membawa keluarga untuk bercuti di Genting Highlands.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!