Azimat TFC gempur JDT

TFC berazam sekali lagi mencipta kejutan apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat. - FOTO: FB TFC
TFC berazam sekali lagi mencipta kejutan apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat. - FOTO: FB TFC
A
A
A

KEMENANGAN 1-0 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim April lalu menjadi tonik terbaik buat Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia pada Jumaat.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, kemenangan itu boleh dijadikan sebagai azimat buat anak-anak buahnya apabila sekali lagi membuat perhitungan dengan JDT di venue sama.

“TFC menang ke atas JDT sebelum ini sebab kami bermain baik selain mungkin bernasib baik. Jadi kami harus ambil kemenangan itu sebagai motivasi bagi menghadapi separuh akhir kedua.

“Kami pernah menang di sana (Stadium Sultan Ibrahim) dan perkara yang sama tak mustahil akan berlaku. Cuma saya nasihatkan pemain mengikut arahan taktikal yang disusun. Apa pun para pemain saya akan turun beraksi dengan semangat juang yang tinggi. Kami akan cuba berjuang habis-habisan dalam misi memburu tempat ke final,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Isnin lalu, TFC gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila diikat JDT dengan keputusan seri 1-1.

Dalam pada itu, Nafuzi berkata, beliau bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya aksi dilanjutkan sehingga masa tambahan atau penentuan sepakan penalti.

“Kami memang kena bersedia, apa sahaja situasi boleh berlaku apabila perlawanan memasuki peringkat kalah mati. Jadi mahu atau tidak, kami perlu bersedia mental dan fizikal. Namun, kalau boleh saya mahu menghabiskan perlawanan dalam tempoh 90 minit. Peluang kami ke final masih ada walaupun JDT dikatakan sebagai pilihan,” ujarnya.

Mengenai tiga tonggak utama TFC - Jordan Mintah, Faisal Halim dan Faiz Nasir yang dijangka ‘dirantai’ pertahanan JDT, Nafuzi menjelaskan ia bukan satu masalah besar.

Artikel Berkaitan:

“Saya sudah jangka Mintah dan pemain lain akan dikawal rapi barisan pertahanan lawan, itu biasa berlaku dalam bola sepak. Saya juga ada taktikal sendiri untuk berdepan JDT,” jelasnya.