Rangnick hampiri Old Trafford

Rangnick
Rangnick
A
A
A

GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United dilaporkan semakin hampir melantik Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara The Red Devils dengan kontrak enam bulan di Old Trafford.

Pengendali Jerman berusia 63 tahun itu dikatakan bersedia untuk menyertai United, namun tidak akan mengendalikan perlawanan kelab menentang Chelsea hujung minggu ini sementara menunggu permit kerja.

United dilaporkan bersetuju dengan terma Rangnick yang juga ketua sukan dan pembangunan kelab liga Rusia, Lokomotiv Moscow.

Untuk rekod, Rangnick memenangi Piala Jerman bersama Schalke pada 2011 dan membawa RB Leipzig ke final pada 2019.

Semasa musim 2010-11 dia membimbing Schalke ke separuh akhir Liga Juara-Juara, yang menyaksikan kelab itu tewas agregat 6-1 kepada Manchester United, yang kemudiannya ditewaskan Barcelona pada perlawanan akhir.

Manchester United kini di kedudukan kelapan liga, kehilangan pengendali Ole Gunnar Solskjaer yang dipecat pada Ahad selepas kekalahan 4-1 di Watford pada Sabtu.

Pembantu Solskjaer, Michael Carrick dilantik pengendali sementara kemudian berjaya mengendalikan United menewaskan Villarreal 2-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara sekali gus menempah slot 16 terbaik.

Rangnick membina reputasi kejurulatihan mengagumkan semasa berada di Jerman, terutamanya di VfB Stuttgart, Hannover, Hoffenheim, Schalke dan RB Leipzig.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengendali Paris St Germain (PSG), Mauricio Pochettino terus menjadi sasaran utama The Red Devils, namun kelab Inggeris itu dilaporkan berhati-hati untuk mengadakan perbincangan dengan kelab Perancis itu yang dijangka berlarutan lebih lama dalam mencapai persetujuan bersama.