X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 05 Disember 2021

Seorang lagi suspek penipuan ubah suai dalaman rumah ditahan

Seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pengubahsuaian dalaman rumah melibatkan kerugian RM84,550.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang wanita selepas disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pengubahsuaian dalaman rumah, pembelian perabot dan barangan elektrik dengan melibatkan kerugian RM84,550.

Ini menjadikan keseluruhan tiga individu ditahan polis berkaitan penipuan itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, wanita tempatan berusia 32 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 5.30 petang Khamis selepas hadir memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.

“Sebelum ini suspek (wanita) merupakan saksi kepada siasatan kes ini namun hasil siasatan mendapati suspek bertindak sebagai pemilik akaun bagi penipuan itu.

"Suspek bersama dua lagi individu yang ditahan sebelum ini akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, esok, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya pada Khamis.

Pada 5 November lalu, polis menahan dua lelaki masing-masing warga Singapura dan Bangladesh selepas disyaki menipu pengubahsuaian dalaman rumah, pembelian perabot dan barangan elektrik itu yang melibatkan sekurang-kurangnya 40 pemilik kondominium di sekitar ibu negara.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan D Saralathan berkata, pihaknya sedang mengesan sekumpulan individu disyaki terlibat dalam pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Genting Klang, pada Rabu dengan video kejadian itu tular menerusi media sosial.

Beliau berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu daripada seorang orang awam yang berada di lokasi kejadian dan siasatan mengenainya dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

"Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan video tersebut kerana boleh mendatangkan kegusaran awam," katanya dalam satu kenyataan.

Saralathan meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!