Kempen 'Cashless Boleh' galak tabiat e-pembayaran

Mohd Shahar (tiga dari kiri) bersama Yamani Hafez (empat dari kiri) pada majlis penyampaian hadiah pemenang Kempen 'Cashless Boleh' di Dewan Auditorium Kementerian Kewangan pada Khamis.
Mohd Shahar (tiga dari kiri) bersama Yamani Hafez (empat dari kiri) pada majlis penyampaian hadiah pemenang Kempen 'Cashless Boleh' di Dewan Auditorium Kementerian Kewangan pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen 'Cashless Boleh' disifatkan mampu memupuk kesedaran dan menggalakkan tabiat e-pembayaran atau tanpa tunai dalam kalangan orang awam sebagai kaedah pembayaran utama di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, kempen itu turut membantu migrasi agensi kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke arah mencapai kutipan pembayaran 100 peratus tanpa tunai.

"Inisiatif ini adalah selaras dengan aspirasi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDigital yang menggariskan pelbagai strategi untuk memangkin transformasi Malaysia kepada sebuah ekonomi digital yang berdaya saing termasuklah transformasi kepada 'cashless society' (masyarakat tanpa tunai).

"Dengan kadar penembusan internet setiap isi rumah yang kini melebihi 90 peratus dan dijangka akan terus meningkat dengan pelaksanaan inisiatif MyJendala, usaha-usaha mendigitalisasikan perkhidmatan kerajaan serta pelaksanaan pembayaran secara dalam talian seharusnya seiring dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak swasta," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Shahar pada Khamis turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Kempen 'Cashless Boleh' dan sijil pengiktirafan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi pencapaian 100 peratus e-pembayaran tahun 2021 bertempat di Dewan Auditorium Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan, Anis Rizana Mohd Zainudin; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud; Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat Kementerian Kewangan, Mohd Sakeri Abdul Kadir dan Pengarah Stakeholders Engagements Paynet, Firdaus Ghani.

Kempen itu melibatkan sejumlah 14 agensi kerajaan dan berlangsung dari 1 November 2020 hingga 30 Jun 2021.

Ia menawarkan peluang memenangi pelbagai hadiah kepada pembayar yang membuat pembayaran menggunakan mana-mana kaedah pembayaran tanpa tunai sama ada secara kad ATM MyDebit, FPX, JomPAY atau DirectDebit di agensi-agensi yang mengambil bahagian.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis ini, Mohd Shahar turut menyeru agensi-agensi kerajaan agar terus inovatif dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dengan menggunakan teknologi terkini.

Beliau dalam masa sama menyatakan, susulan daripada kempen 'Cashless Boleh' yang memberangsangkan, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (Paynet) akan menganjurkan edisi baharu yang dijangka akan berlangsung selama enam bulan bermula Disember 2021 dengan pelbagai hadiah menarik menanti pengguna e-pembayaran yang bertuah.