Jongkong emas edisi khas 100 tahun Piala Malaysia

Ab Ghani (tiga dari kiri) melihat Bar Emas yang dipamerkan pada Pelancaran Set Komemoratif Edisi Terhad 100 Tahun Piala Malaysia di Wisma FAM pada Khamis. - Foto Bernama
Ab Ghani (tiga dari kiri) melihat Bar Emas yang dipamerkan pada Pelancaran Set Komemoratif Edisi Terhad 100 Tahun Piala Malaysia di Wisma FAM pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan kerjasama Ninox Idea dan Faidh Jewels pada Khamis melancarkan Set Kenang-Kenangan Edisi Terhad yang didatangi dengan jongkong emas eksklusif seberat 0.5 gram sempena ulang tahun ke-100 penganjuran kejohanan bola sepak berprestij negara, Piala Malaysia.

Edisi terhad sebanyak 999 set dilancarkan untuk menjadi koleksi peminat sukan nombor satu negara itu bagi mengabadikan sambutan 100 tahun kejohanan bersejarah yang memulakan saingan pada Ogos 1921 sebagai Piala Malaya sebelum ditukar nama kepada Piala HMS Malaya pada 1933 dan dikenali sebagai Piala Malaysia pada 1967.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kerjasama berkenaan bukan sahaja dapat memberi impak positif kepada Piala Malaysia, malah turut membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk bersama MFL dalam mengkomersialkan kejohanan bola sepak tertua di Asia itu.

"Ini merupakan kerjasama yang amat baik sempena 100 tahun Piala Malaysia, apa lagi ia melibatkan industri lain seperti emas, penanda aras ini menggambarkan MFL tidak menutup pintu kepada siapa sahaja yang ingin berkongsi idea bersama pihak kami.

"Perkara ini menunjukkan MFL bukan sahaja menumpukan dari segi penajaan tetapi juga dalam bidang yang lain bagi meningkatkan nilai komersial MFL," katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Set Kenang-Kenangan Edisi Terhad 100 Tahun Piala Malaysia di Ibu Pejabat MFL di Kelana Jaya di sini pada Khamis.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, Piala Malaysia sentiasa memiliki aura tersendiri dengan pelancaran set kenang-kenangan itu dapat merancakkan lagi saingan itu yang menghampiri kemuncak aksi final yang dijadualkan berlangsung pada 30 November ini.

Set terhad bernombor siri setiap satu itu bukan sahaja terdiri daripada jongkong emas dengan ketulenan 999.9 tetapi turut mempunyai buku kenang-kenangan Piala Malaysia, pelitup muka, lencana magnet dan pelekat kereta.

Sementara itu, Pengarah Ninox Idea, Mohd Danial Don Alfian berkata, kerjasama julung kali itu adalah untuk memperkenalkan Liga Malaysia (Liga-M) bukan sahaja kepada peminat bola sepak tetapi juga seluruh masyarakat termasuk pengumpul barangan edisi terhad di negara.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga merupakan benchmark (tanda aras) di mana MFL akan lebih dikenali dalam kalangan collector (pengumpul) barangan edisi terhad terutamanya dalam bentuk gold bar (jongkong emas). Jadi MFL dilihat sebagai satu entiti yang mesra kepada masyarakat dan penglibatan secara menyeluruh bukan hanya dalam industri sukan sahaja.

"Pembeli bukan sahaja diharap akan menyimpan item ulang tahun yang sangat signifikan tetapi memiliki bar (jongkong) emas yang mempunyai nilai sepanjang masa dan menguntungkan," jelasnya.

Mohd Danial berkata, set kenang-kenangan edisi terhad itu akan dijual dengan harga bermula daripada RM299 setiap satu dan pembelian boleh dibuat menerusi lawan web www.faidhjewels.com.my atau menghubungi Kedai Emas Faidh di talian 03-8071 8024.

Beliau berkata, pembeli dijadualkan menerima set masing-masing secara berperingkat selepas 15 Disember mengikut kaedah penyerahan barang yang dipersetujui. - Bernama