Ketersediaan 4G di Malaysia meningkat sehingga 88.8 peratus

Inisiatif Jendela telah mambantu mengurangkan jurang digital dan memperkukuh rangkaian sedia ada di negara ini. - Foto Bernama
Inisiatif Jendela telah mambantu mengurangkan jurang digital dan memperkukuh rangkaian sedia ada di negara ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketersediaan 4G di Malaysia kini mencatatkan purata 88.8 peratus - peningkatan 2.8 mata peratusan sejak pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) pada setahun yang lepas, demikian menurut Opensignal.

Dalam tinjauan pasaran bertajuk ‘Menilai kemajuan inisiatif Jendela untuk menamatkan 3G dan menyampaikan 4G yang sentiasa ada kepada rakyat Malaysia,’ penganalisis data Opensignal, Hardik Khatri berkata, pengguna di kawasan kurang penduduk di Semenanjung Malaysia, telah menyaksikan kemajuan yang memberangsangkan bagi ketersediaan 4G - sehingga 2 hingga 2.3 kali lebih baik berbanding purata negara.

“Terengganu menyaksikan peningkatan tertinggi sebanyak 6.4 mata peratusan, diikuti Pahang yang mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus mata peratusan.

“Sementara itu, pengguna di kawasan kurang penduduk di Sabah dan Sarawak turut menunjukkan sedikit peningkatan, masing-masing pada 2.2 dan 2.8 mata peratusan,” katanya sambil memaklumkan data tersebut telah dibandingkan selama 90 hari bermula 1 Ogos, 2021 dengan tempoh yang sama pada 2020.

Beliau berkata, data itu menunjukkan bahawa pengguna telefon pintar di dua kawasan paling kurang penduduk di Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak merekodkan peningkatan terbesar, masing-masing pada 15.4 peratus dan 12.5 peratus bagi jumlah lokasi yang diliputi 4G -- 6.7 mata dan 3.9 mata lebih tinggi berbanding di seluruh negara (8.7 peratus).

Ujar Hardik, inisiatif Jendela telah membantu operator di Malaysia untuk menangani pengalaman rangkaian mudah alih yang berlainan di kawasan berbeza dan membawakan kesalinghubungan 4G ke kawasan kurang penduduk di negara ini melalui pengembangan lokasi yang diliputi 4G.

“Ia sekali gus membolehkan pengguna memanfaatkan rangkaian 4G yang lebih efisien di kawasan yang sebelum ini hanya diliputi 3G/mempunyai masalah liputan.

“Berdasarkan data kami, inisiatif Jendela telah mambantu mengurangkan jurang digital dan memperkukuh rangkaian sedia ada di negara ini memandangkan ia menuju ke arah pengkomersialan 5G," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hardik menjelaskan, Malaysia turut menyaksikan pengurangan yang lebih ketara bagi ketersediaan 3G di seluruh negara dengan mata peratusan yang merosot sebanyak 3.6 mata kepada 12.3 peratus.

“Penurunan terbesar ketersediaan 3G dilihat berlaku di kawasan yang sama mencatatkan peningkatan terbesar ketersediaan 4G -- Terengganu, Pahang dan Kelantan menyaksikan kemerosotan 8.4 kepada 5.3 mata peratusan.

“Bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan memandangkan pengguna masih memperuntukkan sebahagian besar masa di rangkaian 3G yang lebih perlahan dan kurang cekap, terutamanya di kawasan kurang penduduk di Sabah dan Sarawak dengan pengguna menyaksikan ketersediaan 3G tertinggi iaitu masing-masing pada 17.4 peratus dan 17.1 peratus,” katanya. - Bernama