Harga makanan naik jejas pembesaran kanak-kanak

 Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Peningkatan mendadak harga beberapa jenis makanan utama rakyat Malaysia dilihat berpotensi menjejaskan pembesaran kanak-kanak khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, ini kerana peningkatan tersebut secara langsung menyebabkan isi rumah berpendapatan rendah terdedah kepada risiko kehilangan akses sumber makanan yang mencukupi dan berkhasiat pada harga berpatutan.

“Semua ini amat membimbangkan kerana 25 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kurang berat badan atau tumbesaran terbantut disebabkan tabiat pemakanan yang kurang sihat.

“Ini akan menjejaskan potensi pembelajaran serta produktiviti tenaga kerja masa depan. Jika dibiarkan, ia akan mengukuhkan kitaran kemiskinan dan ketidaksamaan antara generasi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Sejak minggu lalu, media melaporkan beberapa makanan utama rakyat Malaysia seperti daging ayam, telur ayam dan sayuran didapati meningkat melebihi dua kali ganda daripada harga normal.

Sehubungan itu, Mohamad yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO meminta kerajaan supaya segera menangani isu tersebut melalui pelaksanaan pemantauan harga yang lebih agresif.

“Jangan biarkan apa jua bentuk memanipulasi harga pasaran berlaku. Perkasakan sistem maklumat pasaran untuk makanan dan bangunkan kesedaran pengguna untuk memantau harga pasaran.

“Sekali lagi saya sarankan pengenalan kupon atau ‘voucher’ makanan bagi membolehkan akses kepada makanan berkhasiat bagi keluarga yang paling terkesan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohamad Hasan berkata, negara perlu membangunkan semula sektor agromakanan yang telah lama dipinggirkan disebabkan penekanan kepada sektor perindustrian sejak tahun 1980-an.

Menurutnya, kapasiti pengeluaran makanan negara mesti setanding dengan negara pertanian serantau di ASEAN.

“Kini, pengeluaran sumber makanan negara masih bergerak pada kadar perlahan disebabkan penggunaan teknologi rendah, cabaran kawalan penyakit, perubahan cuaca dan kerugian lepas tuai yang tinggi.

“Inovasi dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) untuk membina ketahanan terhadap faktor cuaca yang tidak menentu serta perubahan pasaran adalah pelaburan penting bagi memastikan sekuriti makanan negara akan lebih lestari dan terjamin,” katanya.