Cadang tiga negara sebagai sumber tenaga kerja pengawal keselamatan

Hamzah - Foto fail Bernama
Hamzah - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang merancang untuk menjadikan Bangladesh, Indonesia dan Filipina sebagai negara sumber tenaga kerja bagi memenuhi kekosongan dalam sektor perkhidmatan pengawal keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu akan dikaji secara terperinci terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat dan kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pemegang taruh untuk memastikan tiada isu atau masalah timbul mengenainya nanti.

Menurut Hamzah, beliau akan membuat pengumuman muktamad selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan termasuk pemain industri serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan lain-lain lagi.

Beliau berkata, ia bagi memastikan bahawa tiada masalah lain yang timbul apabila pekerja-pekerja luar ini mula diimport nanti kerana mereka perlu dipastikan benar-benar bekerja dalam negara dan bukannya menjadi ejen negara luar atau sebagainya.

“Ini kerana ia melibatkan soal keselamatan negara, pelbagai perkara boleh berlaku dan saya amat sensitif dengan isu ini,” katanya selepas merasmikan majlis perjumpaan Menteri Dalam Negeri bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan Agensi Persendirian di ibu negara pada Khamis.

Sementara itu, Hamzah berkata, 66 lesen syarikat kawalan keselamatan dibatalkan sejak tahun 2014 atas pelbagai alasan, termasuk sebab menggaji pekerja tanpa menjalankan tapisan keselamatan, salah guna senjata api dan menggajikan pendatang asing tanpa izin.

Beliau seterusnya menggesa semua syarikat kawalan keselamatan membuat pembaharuan lesen syarikat masing-masing bagi mengelak tindakan.

“Syarikat kawalan keselamatan perlu membuat pembaharuan lesen pada atau sebelum 31 Disember ini bagi mengelak lesen mereka ditarik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri akan menubuhkan Akademi Latihan Industri Keselamatan khusus bagi membolehkan syarikat-syarikat kawalan keselamatan melatih petugas keselamatan mereka dengan latihan asas sebagaimana pihak berkuasa lain.

Menurutnya, akademi berkenaan akan bekerjasama dengan agensi sedia ada bawah Kementerian Dalam Negeri antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan dan Jabatan Imigresen. - Bernama