Semangat Melaka United kian membara

Zainal Abidin Hassan
Zainal Abidin Hassan
A
A
A

SEMANGAT pasukan Melaka United FC kini kian membara dan pemain sedia untuk memberikan yang terbaik menjelang aksi penentuan malam esok bagi melakar sejarah baharu pasukan bola sepak dari negeri Hang Tuah itu, sempena edisi ke-100 Piala Malaysia.

Pengendalinya, Zainal Abidin Hassan mengakui biarpun tampak tidak mudah dengan membawa bekalan jaringan 1-1 pada aksi timbal balik separuh akhir, namun beliau menaruh kepercayaan tinggi dengan semangat juang dan keinginan anak-anak buahnya untuk meraih kemenangan bermakna di laman sendiri.

"Walaupun bekalan tidaklah banyak, yang penting hasrat dan keinginan kami untuk mencipta sejarah di bumi Melaka ini dan pemain-pemain telah menyatakan hasrat mereka akan memberikan segalanya, paling penting kita juga mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri dengan sorakan penyokong.

"Kedatangan pasukan Kuala Lumpur FC ke sini juga mempunyai tugas penting, kita tahu mereka menunjukkan banyak peningkatan dan disiplin yang amat tinggi tetapi pemain kita juga sedia memberikan komitmen 100 peratus malam esok," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.

Zainal berkata, pemain juga telah jelas dengan niat dan hasrat mereka untuk menghabiskan perlawanan pada Jumaat seterusnya menempah tiket pusingan akhir di samping melihat momentum pasukan itu yang membentuk skuad yang ampuh dan mampu bersaing dalam penampilan Piala Malaysia kali ini.

"Alhamdulillah kita juga tiada masalah penggantungan pemain, tetapi mungkin ada sedikit perubahan disebabkan masalah kecederaan kecil tetapi ia tidak menjejaskan persiapan kerana kami akan pilih yang terbaik untuk memulakan perlawanan esok," katanya.

Pada pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, Isnin lepas, Melaka United terikat 1-1 menerusi jaringan Adriano Narcizo manakala gol KL City FC dijaringkan Zhafri Yahya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik pasukan Melaka United dalam kejohanan tertua di Asia Tenggara itu adalah sekadar melepasi peringkat suku akhir pada 2017 dan 2019 namun aksi ke separuh akhir itu menyamai pencapaian cemerlang skuad 1983 yang dibarisi legenda bola sepak negara seperti Datuk Soh Chin Ann,Ramli Junit, Lim Chuan Chin dan sebagainya. - Bernama

Artikel Berkaitan: