Mapim sokong Kedah sekat judi, arak

Mohd Azmi (depan) melancarkan Kempen Selamatkan Malaysia dari Arak dan Judi (Saji) di Anjung Salimah pada Khamis.
Mohd Azmi (depan) melancarkan Kempen Selamatkan Malaysia dari Arak dan Judi (Saji) di Anjung Salimah pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyokong tindakan Kedah yang tidak memperbaharui lesen judi dan menyekat penjualan arak di negeri tersebut.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya bersetuju langkah berkenaan diambil bagi menangani kesan buruk akibat gejala perjudian dan arak dalam kalangan masyarakat serta keputusan terbabit diharap mengurangkan premis dan aktiviti perjudian serta penjualan arak seperti disasarkan.

"Biarpun pelbagai alasan dibahas mengatakan itu hak bukan Islam, namun perlu juga bicarakan hak masyarakat secara umumnya, bukan sekadar memenuhi hak individu semata-mata," katanya ketika melancarkan Kempen Selamatkan Malaysia dari Arak dan Judi (Saji) di Anjung Salimah, pada Khamis.

Beliau turut mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang lebih mengutamakan hak individu dalam konteks perjudian dan arak daripada kesannya ke atas masyarakat.

"Saya rasa ini satu langkah yang positif dan tidak patut ada prasangka antara kaum. Jangan curiga keputusan ini akan menyekat ekonomi bukan Islam sebaliknya lihat dari perspektif yang positif khususnya aspek kesejahteraan, keamanan dan kesihatan masyarakat," katanya.

Menurutnya, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam juga menyatakan respon positif terhadap kempen tersebut.

"Saya bersedia mengadakan pertemuan di rumah ibadat antaranya kuil dan gereja untuk berinteraksi dengan bukan Islam selain memberi ruang berhujah dalam usaha memberi kefahaman mengenai niat sebenar kita,"katanya.

Kata beliau, pendekatan itu bukan menafikan hak bukan Islam namun lebih kepada menjamin kesejahteraan negara dari kerosakan akhlak dan tamadun akibat gejala perjudian dan arak yang tidak terkawal.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Azmi, Mapim akan mengadakan rundingan dengan agensi dan kementerian berkaitan dan akan mendapatkan 100,000 tanda tangan sokongan, menjelajah ke seluruh negara dan menyasarkan penglibatan 1,000 aktivis dalam usaha mencapai matlamat itu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Kedah melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mengumumkan tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat melalui mesyuarat exco untuk memelihara keharmonian rakyat dan mengelak mudarat lebih besar kepada penduduk negeri tersebut.