MFL lancar set edisi terhad bar emas 100 tahun Piala Malaysia

Ab Ghani (tiga dari kiri) melihat bar emas yang dipamerkan pada Pelancaran Set Komemoratif Edisi Terhad 100 Tahun Piala Malaysia di Wisma FAM hari ini. - Foto Bernama
Ab Ghani (tiga dari kiri) melihat bar emas yang dipamerkan pada Pelancaran Set Komemoratif Edisi Terhad 100 Tahun Piala Malaysia di Wisma FAM hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan kerjasama Ninox Idea dan Faidh Jewels hari melancarkan set edisi terhad bar emas sempena sambutan 100 Tahun Piala Malaysia.

Edisi terhad sebanyak 999 set itu dilancarkan bagi mengabadikan sambutan 100 tahun kejohanan bersejarah itu yang memulakan saingan pada Ogos 1921 dengan gelaran Piala HMS Malaya.

Bagi mengenang pelbagai sejarah yang tercatat sepanjang kejohanan itu, MFL dengan kerjasama Ninox Idea dan Faidh Jewels bersetuju untuk mengeluarkan satu lagi barang bersejarah iaitu bar emas seberat 0.5 gram untuk menjadi koleksi peminat sukan nombor satu negara.

Menurut Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, kerjasama tersebut bukan sahaja memberikan satu petanda yang cukup positif sebaliknya ia turut membuka pintu kepada pihak-pihak lain untuk bersama MFL dalam mengkomersialkan nilai Liga Malaysia.

“Pertama saya mahu mengucapkan tahniah kepada Ninox Idea dan Faidh Jewels yang tampil menjadi rakan kolaborasi bersama MFL dalam menjayakan barangan set komeratif edisi terhad 100 tahun Piala Malaysia.

“Tahun ini kita meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia dan sudah pasti produk seperti ini menjadi satu kepastian buat semua penyokong untuk dijadikan koleksi untuk salah satu kejohanan paling tertua di Asia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran produk barangan set komemoratif edisi terhad 100 tahun Piala Malaysia hasil kerjasama dengan Ninox Idea dan Faidh Jewels di Wisma FAM

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mohd Joehari Ayub; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam; Pengarah Ninox Idea, Mohd Danial Don Alfian dan Mohd Irfan Babjee serta Pengarah Kreatif Ninox, Ahmad Nizam Sharif.

Artikel Berkaitan:

Faidh Jewels pula diwakili oleh Pengarahnya iaitu Zainal Azhar Mohamed dan Siti Salmah Abd Hamid dan Redzuan Abd Hamid.

Dalam pada itu Stuart berkata, kejohanan Piala Malaysia sentiasa menjadi kelainan dan memiliki aura tersendiri dan yakin kehadiran set komemoratif tersebut akan merancakkan lagi kejohanan Piala Malaysia yang menyambut usia 100 tahun pada tahun ini.

Set terhad bernombor siri setiap satu ini bukan sahaja terdiri daripada bar emas dengan ketulenan 999.9 tetapi pembeli akan turut menerima buku komemoratif Piala Malaysia, pelitup muka, lencana magnet dan pelekat kereta.

Set siri tersebut akan dijual pada harga bermula RM299 setiap satu dan pembelian boleh dibuat menerusi lawan web www.faidhjewels.com.my atau menghubungi Kedai Emas Faidh di talian 03-8071 8024.

“Pembeli dijadual akan menerima set masing-masing selepas 15 Disember secara berperingkat mengikut kaedah penyerahan barang yang dipersetujui.

“Kami berharap pembeli bukan sahaja akan menyimpan item ulang tahun yang sangat signifikan tetapi memiliki bar emas yang mempunyai nilai sepanjang masa dan menguntungkan, “ jelas Ninox Idea dan Faidh Jewels menerusi kenyataan bersama.