Import punca harga sayuran, barang melambung tinggi

Antara jenis sayuran yang mengalami kenaikan harga ialah kubis bunga, brokoli, sawi pendek, kubis, cili merah, cili hijau. Foto Bernama
Antara jenis sayuran yang mengalami kenaikan harga ialah kubis bunga, brokoli, sawi pendek, kubis, cili merah, cili hijau. Foto Bernama
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Persekutuan diminta mengurangkan kebergantungan import bahan mentah dari negara luar yang menjadi punca harga sayuran dan barang melambung tinggi.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, pada ketika ini negara terlalu bergantung kepada bahan import terutama baja dan racun selain makanan ternakan.

"Kerajaan Persekutuan sepatutnya tidak terlalu bergantung kepada import baja dan racun serta makanan haiwan yang hanya meningkatkan kos, malah sekiranya tidak dikawal masalah ini tidak dapat selesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Penyerahan Bantuan Nelayan Pakej Kita Selangor 2.0 di Jeti Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Izham berkata, pembekal dan peniaga sebenarnya tiada pilihan melainkan terpaksa menaikkan harga berikutan kos bahan import yang tinggi.

"Sekiranya bahan import ini harganya tinggi, mustahil peniaga hendak jual harga rendah melainkan terpaksa mengikut kos yang telah dibelanjakan bagi mendapatkan keuntungan," ujarnya.

Justeru katanya, di Selangor pihaknya sedang berbincang dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan beberapa universiti tempatan bagi membuat kajian membangunkan bahan mentah tanpa kebergantungan import.

"Sebenarnya kaedah penanaman kita ini masih lagi tradisional dan kadang-kadang terganggu dengan faktor cuaca dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun petani berdepan kesukaran dan kos tinggi di peringkat awal, namun kaedah teknologi moden yang lebih tersusun perlu dilaksanakan termasuklah penyediaan sistem berasaskan Internet Kebendaan (IoT) yang dibangunkan anak tempatan," katanya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi moden lebih menjimatkan dan ia dapat mengurangkan tenaga kerja serta kos pengurusan untuk jangka masa panjang.

"Selain itu, dengan penggunaan teknologi moden juga kita dapat mengelakkan penggunaan racun, sebaliknya menggunakan kaedah organik yang terbukti lebih selamat dan mesra alam," jelasnya.