X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Ladang Lestari 2523 tingkat pendapatan peneroka

Idris (dua, kanan) pada gimik Pelancaran Inisiatif Ladang Lestari 2523 sempena Hari Produktiviti dan Kualiti Perladangan 2021 di Kilang Sawit FGV Moakil Segamat pada Khamis. Turut hadir, Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar (tiga, kiri), Pengerusi FGVHB, Datuk Dzulkifli Abd Wahab (dua, kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGVHB, Nazrul Izam Mansur dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan merangkap Ahli Lembaga Pengarah Felda, Sulong Jamil Mohamed Shariff (kanan). - Foto Bernama
A
A

SEGAMAT - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melancarkan inisiatif Ladang Lestari 2523 bagi mengorak hala tuju pemulihan agensi yang sekali gus dapat meningkatkan pendapatan peneroka sebanyak kira-kira RM5,000 sebulan pada 2023.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, berdasarkan inisiatif itu, pihaknya menyasarkan produktiviti ladang peneroka bagi buah tandan segar sebanyak 25 tan sehektar setahun serta kadar perahan minyak (OER) setinggi 23 peratus menjelang 2025.

“Ladang-ladang Felda mampu mencapai sasaran ini. Suatu ketika dahulu, bila dikatakan mahu 25 tan, orang akan pelik dan terlalu tinggi, begitu juga dengan OER 23 peratus pasti ada yang geleng kepala, namun kini saya dimaklumkan bahawa OER di Kilang Sawit FGV Moakil telah meningkat kepada 24 peratus.

“Menerusi inisiatif ini permuafakatan antara kilang dan peneroka akan meningkatkan lagi hasil produktiviti dan kualiti hasil ladang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Ladang Lestari itu bersempena sambutan Hari Produktiviti dan Kualiti Perladangan Felda 2021 di Felda Maokil, di sini, pada Khamis.

Idris berkata, inisiatif itu juga akan memperkasa pengurusan ladang dengan penggunaan teknologi pintar selari dengan Revolusi Industri 4.0 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) selain mengurangkan 50 peratus kebergantungan kepada buruh asing dan pengurangan 20 peratus kos operasi.

Menurut beliau, bagi tujuan itu Felda telah melaksanakan beberapa kaedah antaranya sistem Penyelesaian Pengurusan Perladangan Pintar (SPMS), memperkenalkan baka biji benih sawit baharu 'Yangambi 3-way' yang lebih produktif, penggunaan baja pintar serta amalan pertanian baik yang lain.

Selain itu, Felda turut memperkenalkan strategi bagi menyokong usaha peningkatan hasil iaitu melalui pematuhan terhadap Manual Pengurusan Kebun Lestari dan penggunaan bahan pertanian berkualiti premium selain menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi dalam operasi ladang.

Beliau menjelaskan, strategi penuaian hasil pula akan memfokuskan kepada pengurangan ketirisan hasil di ladang, memastikan hasil kebun peneroka dihantar ke kilang Felda dan mengekalkan pematuhan minyak sawit mampan Malaysia (MSPO) sebagai langkah sokongan terhadap rundingan meja bulat minyak sawit mampan (RSPO) iaitu standard akreditasi antarabangsa supaya minyak sawit dapat dieksport tanpa sekatan.

Inisiatif itu akan dikuatkan lagi dengan penubuhan Inspektorat Operasi Perladangan untuk mengawal selia pengurusan ladang peneroka, selain penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Ladang Lestari bagi memastikan kelancaran program tanam semula dan pengurusan ladang berhasil dijalankan mengikut tatacara ladang lestari.

Menurut Idris, Felda turut melaksanakan konsolidasi syarikat pengurusan ladang peneroka yang kini dikenali sebagai Felda Plantation Management Sdn Bhd, merencanakan pengurusan bersepadu melalui Program 1 S.O.P iaitu 'Satu Sistem, Satu Operasi dan Satu Pasukan' dengan menekankan kepada pemerkasaan pengurusan wilayah dan rancangan ke arah menjadi pengendali perladangan kos terendah.

Felda juga akan menjadikan Kilang Sawit FGV Moakil sebagai model bagi pengurusan buah tandan segar peneroka yang lebih mampan, katanya. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!