Sindiket pinjaman wang tumpas

Mohammad Noor (tengah) menunjukkan skrip cara penipuan suspek kepada media ketika ditemui di IPD Kuantan di sini, hari ini.
Mohammad Noor (tengah) menunjukkan skrip cara penipuan suspek kepada media ketika ditemui di IPD Kuantan di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN- Seramai 17 lelaki dan seorang wanita warga tempatan dipercayai ahli sindiket pinjaman tidak wujud yang menawarkan pinjaman melalui media sosial, diberkas dalam serbuan ke atas dua premis kediaman di sekitar Kuantan, 2 Mac lalu.

Kesemua mereka berusia antara 20 hingga 24 tahun diberkas dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuantan, berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, sindiket berkenaan yang memulakan kegiatan penipuan mereka dipercayai terbabit dalam 61 kes penipuan di seluruh negara dan dua daripada merupakan kes di Pahang hasil siasatan buku yang telah dijumpai.

Menurutnya, suspek yang ditangkap baharu sahaja menetap di daerah ini selama dua bulan dan pihaknya percaya mereka tidak akan menetap di sesuatu kawasan terlalu lama yang sebelum ini mereka menetap di Melaka dan Port Dickson.

"Kita membuat serbuan kedua-dua tempat tersebut di sebuah kondominium di Jalan Datuk Lim Hoe Lek pada jam 6 pagi yang dijadikan sebagai tempat operasi dan penginapan suspek yang ditahan.

“Polis turut merampas bahan bukti berupa 10 buku latihan mengandungi butiran diri setiap mangsa; 35 telefon bimbit; sebuah komputer riba dan tujuh keping kad sim," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, hari ini.

Mohammad Noor berkata modus operandi sindiket suspek ini ialah mengiklankan pinjaman wang berlesen dan memaparkan nombor telefon berbeza untuk orang ramai menghubungi dengan menggunakan media sosial Facebook.

Menurutnya, orang ramai yang terpedaya dengan muslihat sindiket itu dikehendaki membayar sejumlah wang kononnya sebagai deposit proses pengurusan pinjaman mengikut jumlah pinjaman dipohon.

Artikel Berkaitan:

"Sindiket itu akan gagal dihubungi selepas mangsa membayar duit deposit melalui akaun bank yang ditetapkan dan mangsa juga dijanjikan akan mengambil duit pinjaman bukan di rumah suspek tempat mereka menjalankan operasi.

"Sindiket ini juga dipercayai diketuai oleh seorang lelaki Cina yang dikenali sebagai 'Tiger' dan suspek hanya bekerja menjawab telefon apabila disambungkan kepada mereka dan dibayar gaji antara RM1,500 ke RM2,000.

"Tiger ini juga hanya akan datang ke Kuantan sebulan sekali untuk membayar gaji mereka dan suspek juga dijanjikan dengan komisyen sebanyak lima peratus setiap kali mereka dapat menipu mangsa," katanya.

Sementara itu, beliau berkata dalam serbuan yang sama juga pihak polis juga turut menemui air ketum seberat 4 liter dan 36 ubat batuk namun siasatan sedang dijalankan sama ada sindiket sama turut terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

"Kita juga turun membuat ujian saringan air kencing dan mendapati negatif. Pada masa ini pihak kami masih menjalankan siasatan sama ada sindiket penipuan ini turut menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

"Kesemua suspek kini direman sehingga 13 Mac ini dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan," katanya.