MOSTI berjaya capai KPI dalam 100 hari

Dr Adham menyampaikan ucapan pada Program Media Engagement pada Khamis. - Foto Bernama
Dr Adham menyampaikan ucapan pada Program Media Engagement pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Khamis memaklumkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mencapai tiga petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dalam 100 hari pertama.

Beliau berkata, pencapaian KPI itu telah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sesi ‘Report Card Day’ di Parlimen pada Rabu.

Dr Adham berkata, MOSTI telah mencatatkan pencapaian sepenuhnya dalam Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara serta Institut Genom dan vaksin negara, pembangunan ekosistem industri pemula yang komprehensif dan penginovasian sistem penyampaian kerajaan (MyHackathon).

“Sukacita saya kongsikan, ketiga-tiga KPI utama saya selaku menteri MOSTI telah mencapai 100 peratus,” katanya pada sesi ‘media engagement' atau libat urus bersama media di sini serta mengiktiraf kerjasama media yang memberi liputan hampir setiap hari telah membantu dalam pencapaian tersebut.

Hadir sama pada sesi itu ialah Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Abdul Rahman Ahmad.

Dr Adham (tengah) bersama para wakil media yang hadir pada Program Media Engagement pada Khamis. - Foto Bernama
Dr Adham (tengah) bersama para wakil media yang hadir pada Program Media Engagement pada Khamis. - Foto Bernama

Menyifatkan media sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat dalam menyampaikan maklumat sahih serta tepat, Dr Adham berkata, komunikasi antara kerajaan dengan Keluarga Malaysia akan renggang sekiranya tanpa media kerana maklumat daripada kerajaan tidak dapat disampaikan secara menyeluruh.

“Penyampaian maklumat dan informasi yang efektif oleh media merupakan medium paling berkesan dan diyakini masyarakat umum, lebih-lebih lagi dalam fasa pemulihan sosioekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” kata Dr Adham.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun menasihatkan media untuk membuat liputan dan menghasilkan penulisan secara beretika bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. - Bernama