Kerajaan campuran, pembangkang jangan mimpi: Ketua Pemuda PH

Hasnul Zulkarnain
Hasnul Zulkarnain
A
A
A

IPOH - Pembangkang di Perak diingatkan supaya tidak mencetuskan panik dalam kalangan rakyat mengenai kedudukan kerajaan negeri pimpinan PH.

Ketua Pemuda PH Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, spekulasi kononnya akan berlakunya peralihan kuasa yang dimainkan pembangkang itu akan memberi implikasi negatif hingga menimbulkan rasa panik dan resah di kalangan rakyat.

Menurutnya, kerajaan Perak yang dibina atas restu Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ini kukuh malah tiada sebarang masalah seperti yang digembar-gemburkan pembangkang ketika ini.

"Pemuda PH Perak mengingatkan pembangkang agar tidak bermain spekulasi jahat yang mampu menggugat keharmonian dan ketenteraman negeri yang kita sayangi ini.

"Wakil rakyat di pihak kerajaan sangat komited memberi sokongan penuh kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mesej tular di media sosial kononnya berlaku krisis politik tahun 2009 akan berlaku sekaligus kerajaan akan bertukar.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Pas Perak sedia bentuk kerajaan baharu

Sebelum ini, Ketua Pemuda Pas Perak yang juga ADUN Selama, Mohd Akmal Kamaruddin tidak menolak kemungkinan kerajaan Perak mungkin berubah dan gabungan UMNO serta mungkin bersama-sama membentuk kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, Pas diingatkan agar tidak terlalu berkhayal untuk memimpin Perak.

Katanya, spekulasi kerajaan bertukar boleh memberikan kesan negatif kepada rakyat dan ekonomi negeri.

"Jangan sesekali cuba menggunakan kaedah yang tidak demokratik seperti yang dilakukan oleh pasangan yang baru dikahwini mereka iaitu UMNO/BN pada tahun 2009 yang lalu hingga menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang diketuai oleh Pas sebagai menteri besar pada ketika itu.

"Kami juga ingin berpesan kepada masyarakat agar tidak terpengaruh dengan khabar angin kononnya akan berlaku sekali lagi peralihan kuasa di negeri Perak seperti yang berlaku pada tahun 2009 yang lalu," katanya.

Beliau berkata, semua pihak sama ada pembangkang mahupun kerajaan sepatutnya bersama-sam8a fokus dan menumpukan tanggungjawab yang telah diberikan untuk membangunkan negeri.