X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Perak catat kerugian jenayah komersial lebih RM58 juta

Mior Faridalathrash (kiri) menyantuni pengunjung sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) Tahun 2021 di pusat membeli-belah AEON Kinta City, Ipoh pada Khamis.
A
A

IPOH - Sebanyak 1,813 kes jenayah komersial direkodkan di Perak sejak 1 Januari sehingga November, membabitkan kerugian lebih RM58 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan lebih RM20 juta berbanding nilai kerugian RM37 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama, tahun lalu.

Menurutnya, daripada kes penipuan yang direkodkan itu, polis berjaya melakukan tangkapan ke atas 1,112 individu terlibat.

"Tahun lalu, sebanyak 1,748 kes jenayah komersial telah dilaporkan dan seramai 1,123 orang berjaya ditangkap.

"Bagaimanapun tahun ini terdapat peningkatan jumlah kes sebanyak 65 kes dengan peningkatan terhadap jumlah kerugian mangsa sebanyak RM20.7 juta," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) Tahun 2021 di pusat beli-belah AEON Kinta City di sini pada Khamis.

Beliau berkata, peningkatan nilai kerugian mangsa turut berlaku bagi kes jenayah dalam talian membabitkan 682 tangkapan.

Katanya, lebih RM25 juta nilai kerugian membabitkan 1,057 kes direkodkan tahun ini berbanding RM24 juta tahun lalu.

"Berdasarkan statistik ini, jumlah kerugian mangsa meningkat lebih RM988,000 tetapi mencatatkan penurunan kes sebanyak 60 kes," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mior Faridalathrash berharap kempen yang dijalankan Polis Perak ini mampu mendidik orang ramai serta dapat menurunkan kejadian jenayah dalam talian secara drastik.

Menurutnya, kerjasama orang ramai dalam menyampaikan maklumat diperlukan bagi membantu siasatan polis sehingga tertangkapnya penjenayah terlibat.

"Masyarakat juga dinasihatkan untuk menjaga keselamatan diri, keluarga dan harta benda dengan tidak sesekali berkongsi maklumat peribadi serta terpedaya dengan taktik-taktik yang dilakukan oleh penjenayah," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!