Selangor yakin kembangkan industri aeroangkasa

Dari kanan: Haris, Chang Khim dan Hasan semasa gimik perasmian Program SAS di Pusat Penerbangan Subang SkyPark, Bukit Jelutong pada Khamis.
Dari kanan: Haris, Chang Khim dan Hasan semasa gimik perasmian Program SAS di Pusat Penerbangan Subang SkyPark, Bukit Jelutong pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor yakin mampu mengembangkan industri aeroangkasa di negeri tersebut dengan memfokuskan kepada bidang perniagaan dan penerbangan am.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan pihak berkepentingan sama ada kerajaan dan swasta dalam subjek pembangunan infrastruktur lapangan terbang.

Begitupun, beliau berkata, kerajaan Selangor berdepan cabaran untuk mengembangkan aktiviti penerbangan dengan cara menarik lebih banyak ketibaan jet perniagaan antarabangsa ke Malaysia, khususnya ke Lapangan Terbang Subang.

"Pangkalan Data Pesawat Perniagaan NetJet menunjukkan bahawa sehingga Julai 2021, terdapat 22,770 jet perniagaan dalam perkhidmatan di seluruh dunia.

"Memandangkan Malaysia hanya mempunyai 51 jet perniagaan daripada jumlah global ini, saya boleh katakan dengan penuh keyakinan bahawa terdapat banyak ruang untuk kita berkembang dalam industri ini.

"Kita lihat potensi yang ada pada Lapangan Terbang Subang dan akan terus merungkai lebih banyak peluang di situ untuk menyokong dan membantu pertumbuhan industri perniagaan dan penerbangan am serta industri penerbangan lain.

"Kami membayangkan Lapangan Terbang Subang akan menjadi modal besar dan usaha pelaburan di dalam negeri, tanpa keraguan," katanya ketika merasmikan Pameran Udara Selangor (SAS) di Pusat Penerbangan Subang SkyPark, Bukit Jelutong, di sini menerusi tayangan video pada Khamis.

Amirudin ketika berucap menerusi tayangan video ketika merasmikan Program SAS di Pusat Penerbangan Subang SkyPark, Bukit Jelutong pada Khamis.
Amirudin ketika berucap menerusi tayangan video ketika merasmikan Program SAS di Pusat Penerbangan Subang SkyPark, Bukit Jelutong pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor turut teruja dengan prospek pertumbuhan dalam industri dron, khususnya subsektor dron komersial.

Jelasnya, penerimaan dron komersial sedemikian dalam perkhidmatan untuk pelbagai sektor ekonomi dan sosial meningkat dengan pesat selain permintaan dan minat yang besar.

"Menurut Grand View Research dalam laporan yang diterbitkan pada April 2021, pasaran dron komersial global ialah AS$13.44 bilion pada 2020, dengan pertumbuhan aliran menaik yang sangat kukuh pada tahun-tahun akan datang.

"Selain itu, rantau Asia Pasifik dijangka menyaksikan Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) yang mengagumkan sebanyak 63.1 peratus antara 2021 hingga 2028, menjadikannya berpotensi dalam pasaran dron komersial paling pesat berkembang di dunia dari segi volum.

"Jadi, Selangor ingin berada dalam kedudukan stabil untuk menerokai pasaran yang berkembang pesat ini dengan mempunyai infrastruktur serta ekosistem yang optimum, baik dari segi huluan dan hiliran.

"Teknologi akan menjadi kunci perubahan, yang mana pelaburan domestik dan asing yang besar akan diperlukan untuk berada dalam rancangan ini," katanya.

Turut hadir semasa perasmian Program SAS, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Invest Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris.

Sementara itu, Exco Pelaburan dan Industri Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, program SAS dilihat sebagai titik tolak untuk kembali meningkatkan pertumbuhan dalam industri penerbangan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Chang Khim menaiki salah sebuah helikopter di tapak pameran program SAS di Pusat Penerbangan Subang SkyPark, Bukit Jelutong pada Khamis.
Chang Khim menaiki salah sebuah helikopter di tapak pameran program SAS di Pusat Penerbangan Subang SkyPark, Bukit Jelutong pada Khamis.

Ujarnya, lebih 40 pempamer terdiri daripada syarikat tempatan dan antarabangsa dalam bidang berkaitan aeroangkasa dan penerbangan am terlibat dalam pameran tersebut selama tiga hari bermula Khamis sehingga Sabtu.

Selain itu, Program SAS turut menyaksikan enam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan jalinan kerjasama antara syarikat tempatan dengan antarabangsa dalam bidang berkenaan.

"Sepanjang tiga hari ini, terdapat banyak sesi ceramah dan penglibatan yang diadakan oleh profesional industri dan kami menggalakkan anda memanfaatkan peluang ini untuk mempelajari dan mengesahkan pengetahuan dalam industri.

"Antara topik yang dibincangkan termasuk gambaran keseluruhan ekosistem aeroangkasa Malaysia dan isu berkaitan kemampanan, rantaian bekalan, pembangunan industri, peraturan penerbangan, pembiayaan dalam penerbangan, teknologi, profesionalisme industri, kerjaya dalam penerbangan serta wanita dalam penerbangan," katanya.