Sila log masuk terlebih dahulu.

Penjawat awam enggan vaksin tak harus jejas fokus bangunkan negara

Mohd Khairul
Mohd Khairul
A
A
A

SEREMBAN - Hanya segelintir daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam yang enggan menerima vaksin Covid-19, perkara ini tidak harus menjejaskan fokus kerajaan dalam usaha pembangunan negara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, penjawat awam yang belum mendapatkan vaksin Covid-19 mengikut jabatan adalah terlalu kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan penjawat awam yang ada ketika ini.

"Tumpuan utama JPA adalah ke arah pembangunan negara, melaksanakan Belanjawan 2022 serta Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan baik dan lancar.

"Bajet telah dibentangkan, peruntukan juga disediakan, penjawat awam perlu bersedia untuk melaksanakan projek, bantuan serta dasar kerajaan supaya ekonomi kembali pulih. Perkhidmatan awam memainkan peranan besar dalam pembangunan negara," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau demikian selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama Pengurus Sumber Manusia Negeri Sembilan di Wisma Negeri.

Mohd Khairul Adib berkata, pihaknya telah mengarahkan ketua jabatan masing-masing agar mengambil tindakan sewajarnya terhadap penjawat awam yang enggan divaksin berdasarkan pekeliling dan garis panduan yang ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan akan melihat secara holistik cadangan Bank Dunia dalam meningkatkan had usia persaraan 60 tahun penjawat awam di negara ini.

"Memang ada cadangan (meningkatkan had umur persaraan) daripada Bank Dunia secara berperingkat iaitu tahun demi tahun memandangkan tahap kesihatan rakyat dan fasiliti kesihatan bertambah baik dan canggih.

Artikel Berkaitan:

"Ramai yang masih boleh berkhidmat selepas berusia 60 tahun, jadi Bank Dunia mencadangkan supaya kita melihat semula, tapi ini terpulang kerana setiap tahun ada sekitar 500,000 siswazah keluar daripada institusi pengajian, perkara ini perlu diimbangi,” katanya. -Bernama