X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Kes Indira Ghani: Tak perlu klasifikasi orang hilang, kata polis

Mior Faridalathrash memberi penerangan kepada pengunjung sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) Tahun 2021 di pusat membeli-belah AEON Kinta City di sini pada Khamis.
A
A

IPOH - Tiada keperluan untuk polis membuka kertas siasatan di bawah orang hilang terhadap kes anak gadis seorang guru tadika, Indira Ghani dan bekas suaminya, 12 tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan berhubung kes itu telah pun dijalankan dan pihaknya kini masih meneruskan usaha mengesan kedua-dua individu terlibat.

"Siasatan telah pun dibuat sebelum ini ke atas kejadian itu, jadi saya tidak nampak ada keperluan untuk membuka kes sebagai orang hilang.

"Kita sekarang pun dalam usaha mengesan bekas suami dan anaknya yang dilaporkan hilang itu," katanya ketika sidang akhbar Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) Tahun 2021 di pusat membeli-belah AEON Kinta City di sini pada Khamis.

Beliau berkata, daripada laporan media, pihaknya mendapat makluman bahawa wanita berkenaan meminta agar kes berkenaan diklasifikasikan semula sebagai orang hilang.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya belum menerima laporan baharu berkaitan kehilangan anaknya itu.

"Setakat ini belum ada lagi (laporan baru) tetapi saya ada baca berita di portal dan akhbar yang dia (Indira) minta polis klasifikasikan semula kes itu sebagai orang hilang," katanya.

Minggu lalu, Indira dalam satu sidang akhbar meminta polis untuk mengklasifikasikan semula kes anaknya sebagai kes orang hilang.

Desakan itu dibuat kerana keadaan dan lokasi anaknya gagal dikesan sejak 2010.

Indira sebelum ini telah membuat dua laporan polis pada September 2019 dan April 2020 di Putrajaya supaya kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang hilang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!