16 van sekolah beroperasi tanpa permit sah

Anggota penguatkuasa JPJ memeriksa van sekolah haram di hadapan sebuah sekolah di Seremban.
Anggota penguatkuasa JPJ memeriksa van sekolah haram di hadapan sebuah sekolah di Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengenal pasti sebanyak 16 buah van sekolah beroperasi tanpa permit sah.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya mengesan aktiviti tersebut selepas membuat pemerhatian dan risikan bermula dari 18 November hingga semalam (Rabu) dalam operasi bas sekolah tanpa permit yang diadakan oleh pihaknya.

"Seramai 28 pegawai dan anggota penguat kuasa terlibat dalam operasi diadakan. Isu van sekolah tanpa permit tidak harus dipandang remeh kerana ia mendedahkan pelajar kepada risiko sekiranya berlaku kemalangan memandangkan mereka tidak dilindungi insurans," katanya pada sidang media selepas mengadakan operasi bas sekolah tanpa permit di sini, pada Khamis

Hanif Yusabra berkata, JPJ akan terus melakukan penguatkuasaan untuk mengesan van haram di negeri berkenaan yang didapati banyak berlaku di kawasan bandar.

Hanif Yusabra (dua dari kanan) menunjukkan van sekolah haram yang ditahan.
Hanif Yusabra (dua dari kanan) menunjukkan van sekolah haram yang ditahan.

Katanya, individu terlibat mengelak daripada menanggung kos operasi yang tinggi serta tidak mahu berdepan pelbagai prosedur ditetapkan oleh pihak berkuasa hingga memilih untuk beroperasi secara haram.

"Mereka mahu mengambil jalan mudah untuk beroperasi kerana tak mahu melalui prosedur yang perlu dipatuhi.

"Antara prosedur utama perlu dilakukan ialah membuat permohonan permit bas sekolah ditetapkan Angkatan Pengangkutan Awam Darat (APAD), memiliki lesen kenderaan motor perdagangan dan kenderaan yang digunakan perlu membuat pemeriksaan berkala enam bulan sekali dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom)," kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurut Hanif Yusabra, pengusaha van sekolah yang beroperasi secara haram itu sanggup menggadai nyawa pelajar kerana hanya memikirkan keuntungan mata-mata.

Katanya, bagi mengelak diketahui pihak berkuasa dan ibu bapa, mereka yang terlibat akan mengecat van dengan warna kuning.

“Tapi usaha ini akan lebih berkesan jika mendapat kerjasama semua pihak khususnya ibu bapa supaya tidak memilih perkhidmatan van atau bas sekolah haram,” katanya.