Sotong goreng RM100: Restoran Hameediyah terima permohonan maaf

Sotong goreng apollo yang dijual di restoran berkenaan.
Sotong goreng apollo yang dijual di restoran berkenaan.
A
A
A

GEORGETOWN – Pengusaha Restoran Nasi Kandar Hameediyah di Lebuh Campbell di sini telah menerima permohonan maaf daripada pelanggan yang membeli dua ekor sotong goreng bernilai RM100 menerusi mesej di aplikasi WhatsApp.

Pengarahnya, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, wanita berkenaan turut menafikan dirinya yang mempertikaikan harga hidangan sotong goreng ‘apollo’ itu dengan memuat naik mesej di media sosial.

Menurutnya, pelanggan itu mendakwa ada pihak lain menyunting gambar yang dimuat naik olehnya di Instagram dengan kapsyen tertentu.

"Pelanggan itu menghantar mesej kepada saya beri penjelasan sebenar selain mengaku tahu akan harga hidangan sotong goreng berkenaan.

"Selain itu, individu berkenaan turut meminta saya untuk memuat naik perbualan mohon maaf ini agar orang ramai dapat penjelasan sebenar," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Riyaaz berkata, pihaknya menerima permohonan maaf daripada pelanggan tersebut kerana dia tidak berniat menjatuhkan reputasi restoran berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis terhadap individu yang bertindak membuat salinan skrin serta menulis keterangan yang boleh menjejaskan nama restoran.

Pada Rabu isu harga sotong goreng yang dijual di restoran berkenaan menjadi perdebatan ramai di media sosial apabila ia dijual dengan harga RM100 untuk dua ekor.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan notis pengesahan maklumat barangan terhadap pemilik restoran nasi kandar itu bagi mendapatkan maklumat serta harga kos dan jualan bagi sotong goreng tersebut.