'Jangan guna surat layang salur maklumat kepada SPRM'

Shaharom Nizam (depan, tiga dari kiri) bergambar bersama beberapa pengamal media selepas Majlis Apresiasi SPRM Negeri Kedah Bersama Rakan Strategik di Alor Setar pada Khamis.
Shaharom Nizam (depan, tiga dari kiri) bergambar bersama beberapa pengamal media selepas Majlis Apresiasi SPRM Negeri Kedah Bersama Rakan Strategik di Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah menyeru pemberi maklumat agar tidak menggunakan surat layang sebaliknya tampil berjumpa dengan mana-mana pegawai badan berkenaan untuk menyalurkan maklumat lebih tepat.

Pengarah SPRM Negeri Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, pihaknya menerima surat layang pada setiap bulan, namun kebanyakan maklumat yang diberikan tidak jelas dan terdapat surat yang dihantar kepada mereka tidak menyatakan maklumat yang diperlukan.

Menurutnya, maklumat yang tidak jelas yang disampaikan menyaksikan pihaknya gagal meneruskan siasatan.

"Dalam tempoh sebulan, kami ada terima dua sehingga tiga surat layang.

Pihak kami tidak mengabaikan surat-surat tersebut dengan membuat semakan terperinci bagi memastikan tidak berlaku penganiayaan atau mempergunakan SPRM.

"Kita menggalakkan mereka yang membuat surat layang ini agar tampil dengan menyalurkan maklumat berkenaan kepada pegawai kami.

Boleh hubungi mana-mana pegawai atau berjumpa di tempat selesa yang dimahukan oleh pemberi maklumat.

"Surat layang ini yang telah dihantar ada yang sukar difahami dan ada juga kurang jelas apa maksud yang mahu disampaikan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat SPRM Kedah, dekat sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi SPRM Negeri Kedah Bersama Rakan Strategik dan juga Media Kedah.

Mengulas lanjut, Shaharom Nizam berkata, terdapat pelbagai kesalahan yang dilaporkan oleh pemberi maklumat melalui surat layang berkenaan.

"Pemberi maklumat tidak perlu bimbang untuk tampil bertemu dengan mana-mana pegawai kami kerana identiti mereka akan dirahsiakan oleh SPRM," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, media banyak memainkan peranan membantu mempromosikan perkembangan SPRM negeri Kedah dalam mencegah kesalahan rasuah di negeri ini.

"Kesan liputan oleh media massa dan juga media sosial adalah sangat positif kerana dapat membantu membuat hebahan kepada orang ramai untuk sama-sama membantu membanteras rasuah.

"Jumlah keanggotaan kami di sini (Kedah) agak terhad dan dengan bantuan media memang banyak membantu kami untuk terus memberikan kesedaran kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan rasuah dari semasa ke semasa," katanya.