MPM perkenal subjek Tahfiz al-Quran STPM tahun ini

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM)
Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM)
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan menawarkan subjek Tahfiz al-Quran bagi Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sukatan Pelajaran Peperiksaan Tahfiz al-Quran STPM Prof Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff berkata pengenalan subjek tersebut bertujuan meningkatkan jumlah kemasukan pelajar-pelajar lulusan sijil itu ke universiti awam (UA), selain memasyarakatkan subjek berkaitan al-Quran kepada pelajar dan masyarakat.

"Peperiksaan pertama bagi Semester Satu akan diadakan pada November tahun ini. Di dalam subjek tahfiz ini, pelajar akan belajar enam subjek berkaitan al-Quran antaranya Maharat Rasm (kemahiran Resam al-Quran), dan juga 10 bacaan Imam Qiraat.

“Ini juga antara usaha kami untuk memasyarakatkan ilmu al-Quran kepada semua kerana pelajar sendiri akan menerangkan kepada masyarakat apa yang dapat mereka pelajari di dalam subjek Tahfiz al-Quran ini," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman keputusan STPM 2018 di sini hari ini.

Katanya, tujuan MPM menawarkan subjek Tahfiz al-Quran ini adalah juga bagi menyediakan laluan pengajian kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah menduduki Kurikulum Bersepadu Tahfiz bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat STPM.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata pihak kementerian berharap sekolah tahfiz swasta untuk membuka ruang kepada pelajar mereka mendaftarkan diri dengan subjek tahfiz al-Quran STPM ini.

"Pihak kementerian turut menyeru sekolah swasta untuk membenarkan pelajar mereka mengambil subjek Tahfiz al-Quran STPM ini kerana kami ingin beri saluran yang lebih luas bagi semua pelajar mengikuti arus perdana pendidikan," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan anugerah berupa plak dan sijil penghargaan kepada 20 pelajar terbaik SPTM.

Tambahnya, pengenalan subjek Tahfiz al-Quran itu juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus menerajui perkembangan Islam di negara ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: