Covid-19: Pematuhan SOP di Kelantan semakin baik

Shafien menurunkan tandatangan sebagai tanda perasmian surau berkenaan.
Shafien menurunkan tandatangan sebagai tanda perasmian surau berkenaan.
A
A
A

TUMPAT - Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan kawalan penularan Covid-19 negeri ini didapati meningkat secara keseluruhannya sehingga 95 peratus.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ada beberapa daerah di negeri ini seperti Pasir Mas dan Gua Musang yang menunjukkan kesedaran sehingga 98 peratus.

Bagaimanapun, katanya, masih ada pelanggaran protokol kesihatan melibatkan pemakaian pelitup muka dan tidak membuat imbasan MySejahtera semasa memasuki premis dan sebagainya.

"Kami telah keluarkan sebanyak 5,368 kompaun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Kelantan sejak Mac lalu. Jumlah kompaun ini berkurangan berbanding jumlah tahun lalu.

"Tahun ini kita tengok kesedaran jaga SOP makin tinggi, cuma soal penjarakan sosial itu masih perlu diperkemaskan," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Shafien sebelum itu hadir merasmikan Surau Ar-Rasyidin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shafien juga memberitahu, sehingga kini, seramai 2,010 orang kakitangannya telah mendapatkan vaksinasi Covid-19 dos ketiga.

Katanya, ia melibatkan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dan pemberian dos berkenaan adalah secara berperingkat mengikut daerah.

Artikel Berkaitan:

"Kami ada lebih 4,000 kekuatan di Kelantan dan hampir separuh daripada mereka sudah menerima dos ketiga masing-masing. Insya-ALLAH kita jangka ia boleh selesai nanti untuk persediaan jangka masa panjang," katanya.