6,700 calon STPM di Sabah lulus penuh

Mistirine Radin bersama pelajar yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) seluruh Sabah sempena Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2018 di Dewan Dun Beaufort, hari ini. - Foto Bernama
Mistirine Radin bersama pelajar yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) seluruh Sabah sempena Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2018 di Dewan Dun Beaufort, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BEAUFORT - Seramai 6,705 daripada 6,787 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi 2018 di Sabah mencatatkan keputusan cemerlang dengan pencapaian lulus penuh berbanding 6,515 calon pada 2017.

Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 0.24 peratus atau 98.79 peratus calon mendapat keputusan lulus penuh berbanding 98.55 peratus pada 2017.

Beliau berkata, 61 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus berbanding 59 sekolah pada 2017.

“Gred Purata Nilai Kumulatif (GPNK) Sabah pada 2018 juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.03 iaitu 2.69 berbanding 2.66 pada 2017.

“Keputusan STPM Sabah menunjukkan peningkatan sepanjang tahun, dan keputusan STPM 2018 adalah terbaik bagi Sabah setakat ini meskipun Sabah masih berada di bawah purata GPNK kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini, hari ini.

Mistirine berkata jurang perbezaan lulus antara sekolah bandar dan luar bandar di negeri ini juga semakin mengecil iaitu 0.57 peratus pada 2018 berbanding 2.15 pada 2017.

Beliau berkata, ia satu pencapaian terbaik selain membuktikan tiada istilah sekolah luar bandar ketinggalan dalam mencapai keputusan cemerlang.

“Selain komitmen guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran, saya fikir faktor kecemerlangan STPM itu antara lain disebabkan pewujudan pusat tingkatan enam serta penguasaan guru dengan sistem modular mengikut semester,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mistirine berkata calon memperoleh kelulusan penuh lima prinsipal ialah 282 orang atau 4.16 peratus berbanding 217 orang (3.28 peratus) pada 2017; empat prinsipal (4,558 orang atau 67.16 peratus); tiga prinsipal (1,080 orang atau 15.91 peratus); dua prinsipal (501 orang atau 7.38 peratus) dan satu prinsipal 284 orang atau 4.18 peratus.

Dua belas daripada 21 mata pelajaran STPM diambil oleh calon peperiksaan itu di Sabah mencatatkan peningkatan, katanya.

“Seramai 51 calon STPM 2018 di Sabah berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif 4.00 berbanding 39 calon pada 2017,” katanya. - Bernama