Duda didakwa lakukan seks luar tabii dengan kambing betina

Shaari (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baru pada Khamis bagi menghadapi pertuduhan melakukan hubungan seks luar tabii dengan seeskor kambing betina pada Julai lalu.
Shaari (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baru pada Khamis bagi menghadapi pertuduhan melakukan hubungan seks luar tabii dengan seeskor kambing betina pada Julai lalu.
A
A
A

KUALA KUBU BHARU - Seorang warga emas yang juga seorang duda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina, empat bulan lalu.

Tertuduh, Shaari Hasan, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Mengikut pertuduhan, dia yang juga penganggur didakwa dengan sengaja telah melakukan persetubuhan luar tabii dengan haiwan, iaitu seekor kambing betina di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Rawang pada jam 1.30 petang, 27 Julai lalu.

Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ditahan laku seks luar tabii dengan kambing

Shaari, pada mulanya mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan, namun ketika barang kes iaitu baju-T berwarna hijau dan seluar panjang coklat yang dirampas semasa kejadian ditunjukkan kepadanya, dia tidak mengakui pakaian itu adalah miliknya.

Berikutan itu, Hakim Nurul Mardhiah kemudiannya memaklumkan bahawa pengakuan bersalah Shaari atas pertuduhan itu tidak boleh diterima memandangkan tertuduh tidak mengakui barang-barang kes itu.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khadijah Amir Hamdzah yang mengendalikan pendakwaan kemudian tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan pertuduhan dihadapinya adalah kesalahan serius.

Bagaimanapun, peguam bela, Zolazrai Zolkapli yang mewakili tertuduh memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya tinggal seorang diri selain telah berusia 60 tahun.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 24 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Sinar Harian pada 28 Julai lalu melaporkan, seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki melakukan hubungan seks luar tabii dengan seekor kambing betina sehingga haiwan itu mati dalam kejadian di Kampung Sungai Buaya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 45 tahun pada jam 6.24 petang.

Menurut beliau, pengadu memaklumkan terdengar bunyi dari kandang kambing yang terletak di belakang rumahnya pada jam 1.30 petang.

"Hasil pemeriksaan, mendapati seorang lelaki dalam keadaan separuh bogel bangun dari sebelah kambing sebelum melarikan diri.

"Pengadu juga mendapati seekor kambing betina telah mati," katanya.