Kempen daftar kanak-kanak OKU tahun depan

JKM Johor akan mengadakan kempen pendaftaran orang kurang upaya (OKU) pada tahun hadapan terutama kanak-kanak, dalam usaha memastikan kebajikan golongan itu sentiasa terjaga. - Foto hiasan 123rf
JKM Johor akan mengadakan kempen pendaftaran orang kurang upaya (OKU) pada tahun hadapan terutama kanak-kanak, dalam usaha memastikan kebajikan golongan itu sentiasa terjaga. - Foto hiasan 123rf
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Johor akan mengadakan kempen pendaftaran orang kurang upaya (OKU) pada tahun hadapan terutama kanak-kanak, dalam usaha memastikan kebajikan golongan itu sentiasa terjaga.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Zaiton Ismail berkata, kerajaan negeri melalui JKM Johor, sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap golongan kanak-kanak OKU yang merupakan satu daripada kumpulan sasar jabatan itu.

"Mengikut rekod statistik JKM Johor, jumlah OKU berdaftar sehingga bulan ini adalah seramai 68,120 orang.

"Ia merangkumi OKU fizikal seramai 24,268 orang, pembelajaran (23,892) dan mental (6,498). OKU penglihatan pula seramai 5,450 orang, pendengaran (4,428), pertuturan (373) manakala OKU pelbagai (3,208)," katanya pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zulkurnain Kamisan (UMNO-Sri Medan) yang ingin tahu jumlah terkini golongan OKU di Johor serta perancangan kerajaan negeri membantu golongan berkenaan.

Zaiton menjelaskan, kerajaan negeri akan memperluaskan promosi bagi menggalakkan orang ramai khususnya kanak-kanak OKU berdaftar segera dengan JKM negeri.

Katanya, kempen pendaftaran juga akan mempromosikan permohonan secara dalam talian di bawah Program MyDaftar OKU untuk memudahkan lagi pendaftaran khususnya bagi OKU ketidakupayaan ketara.

Menurut beliau, Jabatan Pembangunan OKU juga akan menambah baik Garis Panduan Pengoperasian bagi memantapkan Pengurusan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Artikel Berkaitan:

Garis panduan tersebut merangkumi latihan dan pemulihan yang akan diberi kepada kanak- kanak OKU yang menjalani pemulihan di PDK, manakala program pemulihan kepada pelatih PDK akan dimantapkan menerusi Rancangan Pembelajaran Individu (RPI) mengikut norma baharu serta prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan kawalan penyakit Covid-19. -Bernama