Lelaki ditahan bersama dadah bernilai RM104,000

Datuk Mohamad (dua, kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.
Datuk Mohamad (dua, kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki ditahan bersama dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM104,000 di Seremban Gateway di sini, minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri kira-kira jam 4.30 petang, Khamis lalu selepas dilihat memandu kereta dalam keadaan mencurigakan.

“Polis telah menahan suspek yang ketika itu memandu kereta Perodua Myvi seorang diri. Suspek pada mulanya memberitahu singgah di situ untuk berehat kerana penat memandu dari Johor.

“Namun sebaik pemeriksaan pada kereta suspek telah menemui 13 peket plastik berisi heroin seberat 5.9 gram diletakkan di dalam kotak di tempat duduk belakang,” katanya pada sidang media di IPK Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek mendakwa dadah berkenaan dibawa dari Johor untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang.

Namun beliau berkata, polis sedang siasat jika ia turut diedarkan di negeri ini termasuk sama ada suspek terlibat dengan mana-mana sindiket.

“Keseluruhan dadah dirampas dianggarkan bernilai RM104,000. Dalam serbuan itu, polis turut merampas kenderaan digunakan dan menyita barang kemas milik suspek yang bernilai RM2,263.

“Ujian saringan air kencing dilakukan ke atas suspek adalah negatif, namun suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari dari tarikh tangkap dan disiasat mengikut Seksyen 37B Akta Dadah Berbahaya yang mensabitkan hukuman gantung sampai mati jika didapati bersalah.

Sementara itu beliau berkata, usaha berterusan polis membanteras kegiatan dadah menunjukkan pencapaian positif apabila 1,492 kes direkodkan dari Januari hingga 7 Mac lalu berbanding 1,715 tempoh sama tahun sebelumnya.

“Manakala seramai 1,639 tangkapan tahun ini berbanding 1,703 tahun 2018, tempoh sama. Nilai sitaan dalam tempoh sama tahun ini ialah RM930,272.11 berbanding tahun lalu RM685,497.60.

“Jadi saya menyeru kepada masyarakat supaya terus prihatin dan tampil beri maklumat supaya misi dan visi memerangi dadah habis-habisan di negeri ini dapat direalisasikan,” katanya.