Lim serah pimpinan MCA tentukan kedudukan dalam kerajaan pusat, negeri

Lim Ban Hong
Lim Ban Hong
A
A
A

MELAKA - Senator Datuk Lim Ban Hong menyerahkan kepada pucuk pimpinan MCA mengenai kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri susulan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Beliau yang memenangi kerusi Undangan Negeri (DUN) Kelebang berkata, jawatan di peringkat Persekutuan dan negeri merupakan platform untuk berkhidmat kepada rakyat serta negara, sekali gus berjanji melaksanakan amanah yang diberikan rakyat menerusi mandat yang diperoleh pada PRN itu.

"Saya perlu menghormati keputusan Presiden MCA dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), saya tidak boleh mendahului mereka untuk memberi komen, kita tunggu sahajalah keputusan dan pengumuman nanti.

"Bagaimanapun, sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) kawasan dan wakil rakyat yang dipilih, saya sudah mula menjalankan tugas dan akan melakukan yang terbaik untuk rakyat DUN Kelebang serta Melaka," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Lim disebut-sebut sebagai antara ADUN daripada MCA yang akan dilantik sebagai exco kerajaan negeri.

Mengulas tentang kejayaan MCA memperoleh dua kerusi pada PRN Melaka, Lim berkata, ia merupakan kepercayaan dan mandat yang diberikan rakyat bukan sahaja kepada MCA, bahkan keseluruhan parti komponen dalam BN.

Beliau berkata, MCA merupakan sebahagian keluarga besar BN dan wakil rakyat MCA yang diberi mandat akan bersama membantu barisan kepimpinan baharu untuk mentadbir serta mengurus kerajaan Negeri Melaka menerusi semangat kebersamaan antara parti komponen dalam BN.

"Saya yakin mandat dan kepercayaan ini akan digunakan untuk kami melaksanakan amanah yang diberikan termasuk menunaikan manifesto yang dijanjikan terutama membantu Melaka dari segi pemulihan ekonomi selepas pandemik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sabtu lalu, Lim menang dengan majoriti 876 undi selepas menewaskan Bakri Jamaluddin (Perikatan Nasional) dan Datuk Gue Teck (Pakatan Harapan). -Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:MIC rampas kerusi DAP Gadek, MCA kalahkan PKR di Kelebang