Isu kekurangan pekerja berlarutan, pengusaha restoran tertekan

Kebanyakan pengusaha restoran mamak terkesan berikutan kekurangan pekerja bagi melancarkan operasi harian.
Kebanyakan pengusaha restoran mamak terkesan berikutan kekurangan pekerja bagi melancarkan operasi harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Isu kekurangan pekerja di restoran mamak semakin berlarutan sehingga menyebabkan kebanyakan pengusaha tertekan bagi meneruskan operasi harian mereka.

Permasalahan yang dihadapi itu juga telah menyebabkan ada pengusaha terpaksa mengecilkan operasi perniagaan masing-masing.

Pengarah Urusan Restoran Hakim, Datuk Hakimsa Abdul Karim berkata, isu kekurangan pekerja telah memberi kesan yang buruk terhadap operasi di kebanyakan restoran mamak yang sememangnya sinonim dalam memberikan perkhidmatan pantas kepada setiap pelanggan mereka.

"Restoran mamak ini kebiasaannya memberikan perkhidmatan laju kepada pelanggan tapi disebabkan masalah ini, operasi kami telah menjadi lambat.

"Malah penyediaan lauk-pauk juga terpaksa dikurangkan kerana kekurangan tenaga kerja," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Isu kekurangan pekerja di restoran mamak ini pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak termasuk Timbalan Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Harisrajudin Alaudin yang menyatakan lebih 40 peratus tenaga kerja warga asing telah pulang ke negara asal sejak Mac 2020 sehingga menyebabkan ramai pengusaha terkesan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, kebanyakan pengusaha restoran mamak kehilangan 50 peratus pekerja selepas mereka masing-masing pulang ke negara asal sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Usaha pihak kami untuk menggunakan tenaga kerja tempatan juga seperti tiada cahaya di hujung terowong susulan daripada sambutan kurang memberangsangkan yang diterima," katanya.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, Jawahar berkata, terdapat beberapa langkah lain dapat digunapakai bagi mengatasi permasalahan itu, namun pelaksanaannya melibatkan kos yang tinggi.

"Memang ada beberapa langkah lain boleh diambil pengusaha restoran mamak khususnya sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini antaranya seperti menggunakan teknologi robot, layan diri dan sebagainya.

"Namun, itu semua memerlukan kos yang tinggi dan mungkin kerajaan boleh membantu dengan memberikan geran bersesuaian bagi tujuan berkenaan," katanya.

Tambahnya, kebanyakan ahli Presma turut menyatakan permasalahan sama yang dihadapi dan mereka juga melihat kebergantungan kepada pekerja warga asing masih diperlukan bagi sektor berkenaan buat masa ini.

"Sebelum PKP, terdapat 12,000 premis restoran berdaftar di bawah Presma, namun jumlah itu kini telah berkurang kepada 9,000 premis berikutan ada di antaranya terpaksa ditutup atas beberapa faktor," katanya.