STPM 2018: Pencapaian terbaik Terengganu

Sebahagian daripada pelajar terbaik STPM 2018 di SMA (A) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Sebahagian daripada pelajar terbaik STPM 2018 di SMA (A) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu mencatat pencapaian terbaik dalam STPM 2018 dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) meningkat kepada 2.99 berbanding 2.91 pada 2017 dan 2.85 pada 2016.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin berkata, pencapaian itu adalah yang terbaik pernah diperoleh sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini.

“Berdasarkan keputusan itu, ini adalah yang terbaik yang pernah kita capai malah telah mencapai PNGK 3.0. yang kita sasarkan.

“Saya yakin, ia adalah pencapaian terbaik Terengganu dalam tempoh lima tahun ini,” katanya ketika sidang media di bilik mesyuarat JPNT, di sini, hari ini.

Katanya, jumlah pelajar mendapat semua A (4.0 flat) pada 2018 juga meningkat kepada 47 orang berbanding seramai 23 orang pada 2017, manakala, pelajar yang mendapat semua A (A+ -A) meningkat kepada 118 orang berbanding 77 orang pada 2017.

“Peratusan prinsipal (5P/4P) dalam semua mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan kepada 84.06 peratus berbanding 78.14 peratus pada 2017 dan jumlah peratusan yang lulus penuh juga meningkat kepada 99.79 peratus berbanding 99.67 peratus pada 2017,” katanya.

Sementara itu, Shafruddin berkata, sekolah yang mencatat PNGK terbaik ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif, Besut diikuti SMA (A) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chalok, Setiu.

“Daerah terbaik PNGK didahului oleh daerah Besut diikuti Marang dan Kemaman.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga mempunyai seorang calon berkeperluan khas (CBK) yang dinobatkan terbaik peringkat kebangsaan iaitu Nor Hazwani Hussain dari SMK Nasiruddin Shah, Besut,” katanya.