X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

RUU antilompat parti, had tempoh PM ke Parlimen sebelum Julai 2022

Wan Junaidi.- Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Rang Undang-undang (RUU) berkaitan antilompat parti dan pengehadan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun dicadang dibentangkan di Parlimen sebelum Julai tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana ia memerlukan kajian dan sesi libat urus yang terperinci serta tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

“Berkenaan penggubalan Perundangan AntiLompat Parti, Jemaah Menteri pada 17 September 2021 telah memutuskan supaya perkara ini perlu disegerakan kerajaan. Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan suatu perbincangan pada 30 September 2021 bersama Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membincangkan persoalan dasar yang timbul daripada pelaksanaan cadangan ini.

“Mesyuarat bersetuju bahawa perkara ini perlu dikaji dengan lebih teliti terutamanya parameter, kandungan dan implikasi Akta ini. Perkara ini sedang dilaksanakan oleh BHEUU bersama AGC dan SPR. Dapatan awal (preliminary findings) berkaitan perkara ini akan dikemukakan kepada saya pada penghujung bulan November ini.

“Dalam pada itu, satu perjumpaan akan diadakan bersama Ketua Parti pada bulan Disember 2021 untuk mendapat pandangan berkaitan cadangan yang dikemukakan dan untuk memaklumkan pendirian kerajaan berkaitan undang-undang antilompat parti,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini pelaksanaan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) dan perkara-perkara yang dipersetujui antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, menyentuh mengenai pengehadan tempoh Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun, Wan Junaidi berkata, satu mesyuarat telah diadakan pada 30 September lalu melibatkan BHEUU, Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain untuk membincangkan persoalan dasar yang timbul daripada pelaksanaan cadangan ini.

Jelasnya, mesyuarat itu bersetuju bahawa perkara tersebut perlu dikaji secara lebih teliti terutamanya parameter, kandungan dan implikasi pindaan berkenaan.

“BHEUU bersama Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain akan mengkaji perkara ini dan dapatan awal (preliminary findings) akan dikemukakan kepada saya pada penghujung bulan November ini,” katanya.

Pada September lalu, politik Malaysia mencatat sejarah buat kali pertama apabila kerajaan dan pembangkang menandatangani MoU dalam urusan pentadbiran negara.

Upacara menandatangani MoU yang dikenali Transformasi dan Kestabilan Politik itu diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili kerajaan.

Bagi pihak PH diwakili Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pemeteraian itu disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!