Polis Johor nafi jenayah ragut berlaku selepas sempadan dibuka

Kenyataan palsu yang sebelum ini tular di Facebook mendakwa terdapat penjenayah telah menunggu di sempadan negara untuk menanti kemasukan warga Singapura.
Kenyataan palsu yang sebelum ini tular di Facebook mendakwa terdapat penjenayah telah menunggu di sempadan negara untuk menanti kemasukan warga Singapura.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menafikan satu dakwaan palsu di media sosial berhubung kemungkinan berlakunya kejadian ragut yang akan melibatkan rakyat Singapura selepas sempadan negara ini dibuka semula.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perkara itu juga dibuktikan menerusi statistik jenayah di negeri ini yang menunjukkan penurunan ketara sejak awal tahun lalu.

Menurutnya, bagi tahun ini, kadar jenayah indeks di Johor menunjukkan penurunan sebanyak 2,610 kes (39.67 peratus) iaitu jenayah harta benda (41.37 peratus), manakala jenayah kekerasan (32.21 peratus).

"Kes samun ragut di Johor mencatatkan penurunan sebanyak 125 kes bersamaan 77.64 peratus, selain kes curi motosikal juga menurun sebanyak 1,099 kes iaitu 51.05 peratus.

"Secara keseluruhan, kedudukan jenayah di negeri ini dalam keadaan terkawal dan perangkaan jenayah indeks menunjukkan trend jenayah menurun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, tular satu kenyataan di Facebook yang mendakwa terdapat jumlah yang besar penjenayah bermotosikal sedang menunggu mangsa dari Singapura sebaik sempadan negara dibuka pada 29 November ini.

Ayob Khan berkata, polis Johor juga akan meneruskan tindakan pencegahan jenayah secara agresif bagi membanterasnya, selain memastikan Johor selamat didiami dan dikunjungi.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai apa jua yang ditularkan dan menyemak dahulu kesahihan maklumat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Polis Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita yang tidak sahih," katanya.