Caj perkhidmatan 5G dijangka lebih murah

Tengku Zafrul pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Tengku Zafrul pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Caj perkhidmatan 5G yang akan dilaksanakan nanti dijangka lebih rendah berbanding penggunaan 4G yang diguna pakai masa ini.

Menteri Kewangan, Senator, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia selaras dengan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai pengawal selia memastikan harga yang ditetapkan adalah adil dan berteraskan pemulihan kos, dan bukan untuk menjana keuntungan.

“Saya telah dimaklumkan bahawa proses penetapan harga 5G tersebut hampir dimuktamadkan, dan ia amatlah berbeza dan jauh lebih rendah berbanding kos bagi setiap gigabit (GB) 4G oleh syarikat telekomunikasi.

"Saya juga difahamkan bahawa Digital Nasional Berhad (DNB) akan mengenakan caj kurang daripada 20 sen bagi setiap GB untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi.

“Sebagai perbandingan, ini adalah jauh lebih murah berbanding kos tambahan (incremental) semasa bagi setiap GB 4G yang dihasilkan oleh syarikat telekomunikasi pada kadar antara 45 hingga 55 sen bagi setiap GB. Oleh itu, saya percaya syarikat telekomunikasi akan menyambut baik penetapan harga tersebut apabila ianya dimaklumkan kepada mereka kelak,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang meminta kementeriannya menjelaskan, dakwaan bahawa syarikat telekomunikasi tidak mahu mendaftar dengan DNB untuk 5G kerana harga yang ditawarkan oleh DNB, yang dilihat beroperasi sebagai monopoli adalah terlalu tinggi.

Tambah Tengku Zafrul lagi, buat masa ini, harga yang akan dikenakan kepada syarikat telekomunikasi oleh DNB masih diperhalusi, dan sedang menunggu kelulusan daripada SKMM.

Artikel Berkaitan: