X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Tiada keperluan pindah pangkalan kem TUDM sedia ada: Hishammuddin

Hishammuddin.- Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula status lokasi pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang kini berada di kawasan berkepadatan penduduk tinggi memandangkan faktor keselamatan penerbangan di kesemua pangkalan itu telah mengambil kira semua kriteria termasuk keselamatan persekitaran landasan terbang membabitkan laluan berlepas dan mendarat.

Selain itu, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kesemua landasan terbang di pangkalan itu juga mengikut standard piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang diaudit secara berkala oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan TUDM sendiri.

“Walaupun berada dalam kepadatan penduduk yang tinggi, selagi ia menepati piawaian maka tiada keperluan untuk pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memindahkan atau membuat keputusan drastik kedudukan pangkalan kem-kem TUDM sedia ada.

“Tambahan, untuk makluman Yang Berhormat Hulu Langat, bagi

kesemua operasi penerbangan pesawat TUDM, ia juga tertakluk mengikut standard prosedur dan piawaian keselamatan penerbangan yang amat ketat dengan tahap pematuhan yang tinggi sebelum sesuatu misi penerbangan dibenarkan untuk dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) yang memintanya menyatakan apakah kerajaan akan mengkaji semula status lokasi pangkalan-pangkalan TUDM yang kini berada di kawasan berkepadatan penduduk tinggi serta tidak lagi strategik.

Ia seperti di Butterworth, Labuan dan Kuantan, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini sekiranya jet pejuang terhempas kerap berlaku, seperti nahas pesawat Hawk 108 yang baru terjadi pada 16 November 2021 lalu dan lain-lain insiden di pangkalan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, antara SOP yang perlu dipatuhi adalah prosedur piawaian anak kapal seperti aspek latihan, kemahiran dan kompetensi, prosedur kejuruteraan yang merangkumi aspek penyelengaraan dan kelayakan terbang (airworthiness) bedasarkan Standard Aviation Authority dalam negara dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pengeluar produk tulen (OEM).

“Kesemua ini adalah merupakan SOP bagi operasi penerbangan pesawat disamping piawaian ketat yang ditetapkan oleh ICAO bagi kesemua pengkalan-pengkalan TUDM.

“Insya-ALLAH, pihak MINDEF dan ATM akan berusaha untuk menambahbaik SOP-SOP dan langkah-langkah keselamatan sedia ada demi memastikan keselamatan anggota dapat dipertingkatkan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!