Kemuncak buruan tiket final

Sathianathan
Sathianathan
A
A
A

DEBARAN kian terasa buat empat pasukan - Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United FC, Terengganu FC (TFC) dan Kuala Lumpur (KL) City FC menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia pada Jumaat.

Keempat-empat pasukan itu tampak memiliki peluang yang agak seimbang dalam misi memburu tiket ke final biarpun JDT dan Melaka United dilihat berada satu ‘anak tangga’ di depan bersandarkan aksi separuh akhir pertama pada Isnin lalu.

Bagi Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, beliau meramalkan JDT dan Melaka United berpeluang cerah lolos ke pentas final selepas kedua-dua pasukan itu berjaya mendapatkan satu gol di tempat lawan.

Menurutnya, TFC dan KL City sudah tentu akan mencari gol ‘semangat’ memandangkan kedua-dua pasukan akan tersingkir sekiranya sekadar seri tanpa jaringan di gelanggang lawan masing-masing.

“Bagi saya, JDT dan Melaka United mempunyai peluang lebih besar untuk mara ke final kerana kedua-dua pasukan itu menjadi tuan rumah bagi aksi separuh akhir kedua.

“Saya menjangkakan TFC dan KL City akan memburu gol seawal yang mungkin bagi memastikan mereka terus memberi tekanan kepada lawan masing-masing.

“Namun, dalam keasyikan TFC dan KL City untuk mencari jaringan awal, sudah tentu situasi itu akan digunakan lawan mereka untuk melakukan serangan balas yang akhirnya akan menghukum TFC dan KL City.

“Ini disebabkan saya melihat JDT dan Melaka United ada pemain yang mampu bergerak pantas untuk menghukum kelekaan lawan mereka mencari gol awal,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah turut senada dengan Sathianathan yang mana beliau turut menjangkakan JDT sebagai pasukan pilihan mara ke final.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan TFC mampu mencipta kejutan ke atas JDT di Stadium Sultan Ibrahim sebagaimana yang dibuktikan mereka dalam aksi Liga Super pada April lalu.

“Pilihan saya sudah tentu JDT kerana mereka bermain di laman sendiri dan mempunyai satu gol di tempat lawan. Tetapi itu tidak bermaksud TFC tak mempunyai peluang.

“Rekod musim ini sudah membuktikan TFC menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan JDT di Stadium Sultan Ibrahim. Tak mustahil juga TFC mampu mencipta kejutan sekali lagi,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau meramalkan KL City mampu mengejutkan Melaka United di Stadium Hang Tuah biarpun kelebihan masih dimiliki pasukan tuan rumah hasil keputusan seri 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

“Saya percaya (pengendali KL City) Bojan Hodak sudah tahu cara untuk kunci beberapa pemain utama Melaka. Ditambah pula Romel Morales sekarang tengah on-form, saya rasa dia akan jadi satu lebihan buat KL City,” katanya.