Faktor logo penentu PRN Sarawak

Logo GPS akan diuji kekuatannya pada PRN Sarawak. -Foto Bernama
Logo GPS akan diuji kekuatannya pada PRN Sarawak. -Foto Bernama
A
A
A

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak iaitu penamaan calon diadakan pada 6 Disember ini, undi awal 14 Disember dan hari pengundian pada 18 Disember.

Politik di Sarawak amat berbeza berbanding Melaka yang baru sahaja melabuhkan tirainya Sabtu lalu dengan kemenangan besar berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Menariknya kali ini di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) buat pertama kalinya akan diuji sejauh mana kekuatan mereka tanpa menggunakan logo BN.

Faktor logo dilihat penting pada pilihan raya era Covid-19 kerana di dalam kertas undi hanya tertera dua perkara iaitu nama calon dan logo parti.

Jika calon tidak dikenali dan tiada peraih undi, logo parti adalah senjata terakhir untuk mendapatkan sokongan.

Bagi Pakatan Harapan (PH), isu logo dijangka turut menjadi dilema terutama bagi PKR yang kalah kesemua kerusi di Melaka.

Pastinya, pimpinan PKR akan membuat penilaian semula sama ada akan menggunakan logo PH yang kurang dikenali atau kembali menggunakan logo mata.

Jika dilihat pada Pilihan Raya Umum ke-4 (PRU14), DAP telah memilih logo sendiri di Sarawak atas faktor logo tersebut sudah dikenali dan terbukti DAP mendapat sokongan pengundi.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi perkara menarik yang boleh dilihat, adakah logo GPS mampu menyerlah di sebalik logo PKR dan DAP?

Jika sebelum ini kerajaan Sarawak menggunakan kekuatan logo BN yang sudah terbukti terkenal, namun kali ini logo GPS dilihat agak baharu di mata pengundi.

Faktor logo akan memberi percaturan lebih menarik kerana PRN kali ini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk melarang sebarang bentuk kempen.

Kepimpinan GPS pastinya perlu bekerja lebih keras untuk mempromosikan logo mereka bagi mengelak pengundi terkeliru.

Namun, faktor logo bukanlah satu-satunya kunci untuk memenangi pilihan raya. Masih terdapat faktor lain yang perlu diambil kira termasuk populariti calon.