X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

PRU15 perlu dilaksanakan segera selepas MoU tamat

Datuk Mohd Razlan Rafii
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dilaksanakan selepas tamat Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik serta keadaan pandemik Covid-19 di negara ini menjadi stabil.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, ia kerana mandat rakyat perlu dikembalikan demi mewujudkan kestabilan, membolehkan negara bergerak lebih yakin untuk kemakmuran rakyat.

“Negara telah ada indikasi bila PRU15 akan diadakan setelah kerajaan menandatangani perjanjian tersebut dengan pembangkang..

“Pendirian saya, PRU15 perlu diadakan secepat yang mungkin selepas perjanjian ini tamat, walau bagaimanapun ia juga bergantung kepada keadaan Covid-19 ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambros pula berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan satu isyarat jelas yang dizahirkan oleh pengundi betapa mereka menginginkan kestabilan politik yang kelak akan menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan mereka.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang itu berkata, isyarat tersebut perlu disahut dan diteliti secara terbuka oleh pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menentukan jeda masa yang paling sesuai, bagi berdepan dengan PRU15.

“Ini memandangkan, UMNO dan BN perlu ambil tanggungjawab untuk mengembalikan semula kestabilan politik dalam negara.

“Ia bagi memastikan negara dapat pulih daripada pelbagai krisis akibat pandemik dengan segera dan secara berkesan serta efektif,” ujarnya.

Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir mendakwa UMNO untuk mendesak PRU15 diadakan pada kadar segera memperlihatkan parti tersebut tidak mengambil peduli situasi rakyat dan negara yang masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, keputusan itu menguatkan lagi dakwaan bahawa UMNO menggunakan pilihan raya sebagai muslihat terakhir untuk merebut lebih banyak kuasa dengan mengorbankan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Jadikan iktibar PRN di Sabah sebelum ini yang menyebabkan kes jangkitan wabak Covid-19 meningkat secara mendadak sehingga menyebabkan beribu nyawa rakyat menjadi korban akibat kerakusan dan ketamakan kuasa oleh pemerintah,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook rasminya pada Rabu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!