VTL bawa sinar bahagia rakyat Malaysia, Singapura

Pintu sempadan Johor - Singapura ditutup hampir 20 bulan lepas berikutan pandemik Covid-19.
Pintu sempadan Johor - Singapura ditutup hampir 20 bulan lepas berikutan pandemik Covid-19.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat dan udara akan membawa sinar bahagia kepada rakyat Malaysia dan Singapura sekali gus menyambung serta mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang 'terputus' seketika akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pelaksanaan itu juga pasti melegakan rakyat di kedua-dua negara yang mempunyai hubungan erat dan persaudaraan sejak sekian lama selepas penutupan pintu sempadan hampir 20 bulan lepas.

"Menerusi pelaksanaan VTL ini, suami atau isteri dapat berjumpa semula dengan keluarga tersayang, anak-anak dapat kembali ke pangkuan ibu bapa dan rakyat di kedua-dua negara sudah boleh mengunjungi saudara mara masing-masing.

"Yang penting, penantian ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk kembali semula ke tanah air sudah berakhir," menurutnya dalam kenyataan malam Rabu.

Beliau berkata, pihaknya amat gembira kerana pembukaan pintu sempadan dengan Singapura sentiasa diberi tumpuan dan keutamaan malah kerajaan negeri sentiasa memberi cadangan dalam memastikan pelaksanaan VTL darat dapat direalisasi.

Hasni berkata, pihaknya turut berpendapat pelaksanaan VTL darat dengan Singapura mampu menjadi pencetus semula kebangkitan dalam proses pemulihan ekonomi pasca Covid-19 bagi kedua-dua negara terutama di Johor.

"Memandangkan Johor merupakan jiran terdekat Singapura, sudah pasti kehadiran pengembara dari negara jiran ini mampu merancakkan semula aktiviti ekonomi negara khususnya Johor apatah lagi Singapura memang merupakan pelabur terbesar di negeri ini sejak dahulu lagi.

"Dalam kita mengalu-alukan pelaksanaan VTL ini, kerajaan menerusi kerjasama pelbagai agensi negeri dan persekutuan tetap tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan dan kesihatan awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata, pematuhan terhadap prosedur operasi standard akan terus diperkasa bagi mengelakkan tercetus semula penularan Covid-19 memandangkan kedua-dua negara tidak mampu lagi untuk menutup pintu sempadan kerana saling bergantung antara satu sama lain.

Pada 18 November lepas, Hasni memaklumkan VTL darat melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua dijangka dibuka serentak dengan VTL melibatkan laluan udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 November ini.

Perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan Johor Bahru. -Bernama