Komitmen di COP26 mesti disusuli tindakan konkrit: Tengku Hassanal

Tengku Hassanal pada majlis makan malam Together For Our Planet anjuran Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur sempena penganjuran COP26 oleh UK serta kerjasama iklim dengan Malaysia. - Foto Bernama
Tengku Hassanal pada majlis makan malam Together For Our Planet anjuran Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur sempena penganjuran COP26 oleh UK serta kerjasama iklim dengan Malaysia. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ucapan dan komitmen yang dibuat pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) baru-baru ini mesti disusuli dengan tindakan konkrit.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, banyak perkara penting diketengahkan pada persidangan itu dan percaya ia berjaya meningkatkan kesedaran antarabangsa terhadap perubahan iklim.

Tengku Hassanal yang turut hadir pada COP26 di Glasgow atas kapasiti peribadi bertitah, baginda berangkat meninggalkan bandar itu selepas persidangan berkenaan, dengan harapan dan keyakinan baharu mengenai masa depan.

"Pada COP26 beta belajar bahawa adalah lebih murah untuk menyelamatkan planet ini sekarang berbanding terpaksa membayar harga yang terlalu tinggi pada masa hadapan. Mencegah lebih baik daripada mengubati.

"Peningkatan paras laut akan menghapuskan banyak tamadun di kawasan pantai. Kita mesti bertindak sekarang untuk mengelakkan malapetaka," titahnya.

Baginda bertitah demikian pada majlis makan malam Together For Our Planet, di sini, anjuran Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur sempena penganjuran COP26 oleh United Kingdom (UK) serta kerjasama iklim dengan Malaysia.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Charles Hay, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Sementara itu, Hay berkata, UK akan terus menyokong Malaysia dalam mengharungi perubahan iklim dan strategi pembangunan tindakan iklim jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

"Perubahan iklim menjadi keutamaan dalam aktiviti diplomatik kami kerana ia adalah masalah global paling mendesak; kita semua perlu bekerjasama untuk selesaikannya, dan jika tidak kita akan sama-sama jatuh," katanya.

Hay menyambut baik ikrar delegasi Malaysia pada COP26, diketuai Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata Malaysia telah menyokong Deklarasi Pemimpin Glasgow mengenai Hutan dan Guna Tanah serta Ikrar Metana Global yang menetapkan matlamat kolektif untuk mengurangkan pelepasan metana sebanyak 30 peratus sebelum 2030. -Bernama