Kemenangan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim azimat TFC

FOTO: Terengganu FC
FOTO: Terengganu FC
A
A
A

PEMAIN tengah Terengganu FC (TFC), Dechi Marcel N’Guessan tidak gusar kehadiran skuad Penyu ke Stadium Sultan Ibrahim tanpa sebarang sebarang bekalan menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).

Sebaliknya Marcel percaya skuad kendalian Nafuzi Zain masih memiliki karakter positif untuk bangkit apabila berdepan Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora tersebut.

“Peluang sebenarnya masih terbuka kalau diikutkan cuma apa lebih mustahak kami kena dapatkan semula cara permainan seperti dalam perlawanan lain. Kami kena bermain sebagai satu unit dan dalam masa sama kena berfikiran positif kerana dalam bola sepak, segalanya mungkin.

“Pada saingan Liga Super kami pernah menewaskan JDT di sana, jadi saat itu perlu diingati oleh setiap pemain kerana itu menjadi motivasi terbaik apabila turun berentap pada separuh akhir kedua.

“Jika pemain sudah berasakan tidak yakin boleh menang, memang segalanya pasti menjadi lebih sukar semasa kita bermain nanti,” katanya.

Pada aksi separuh akhir pertama di Kuala Terengganu sebelum ini TFC diikat 1-1 oleh JDT apabila gol awal yang dicipta Jordan Mintah pada minit kelapan dipadamkan oleh Bergson da Silva pada minit ke-50.

Pada masa sama jelas Marcel kemenangan 1-0 yang dicatat semasa bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim pada pentas Liga Super pada 24 April lalu menjadi motivasi buat pemain-pemain TFC lain untuk mencipta kejayaan seterusnya meraih slot ke pentas perlawanan akhir Piala Malaysia.

Untuk rekod, skuad Penyu menamatkan rekod tanpa kalah 21 perlawanan Harimau Selatan dipacu gol jaringan Mohamad Hakimi Abdullah pada babak kedua yang juga kekalahan tunggal sepanjang musim ini.

Artikel Berkaitan:

Justeru pemain yang berasal dari Ivory Coast ini berharap corak permainannya bersama seorang lagi tonggak tengah, Habib Haroon akan lebih bertenaga berbanding ketika dipamerkan semasa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Selaku pemain tengah, saya tidak menafikan penguasaan di bahagian saya cukup penting bagi memberikan ruang yang lebih baik dalam mencipta serangan.

“Kami tidak ulangi apa terjadi semasa separuh masa kedua baru-baru ini dan sememangnya bukan mudah jika kita sudah kehilangan bola apabila berdepan lawan seperti JDT,” katanya.