Kerajaan setuju bangunkan Platform Acara Perdagangan Bersepadu

Ismail Sabri.- Foto fail Bernama
Ismail Sabri.- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan hari ini secara prinsip bersetuju membangunkan Platform Acara Perdagangan Bersepadu khusus untuk mempromosi bagi meningkatkan daya saing perdagangan dan nilai eksport negara secara digital selaras dengan landskap perdagangan baharu di era pendigitalan.

Beliau berkata, ia merupakan antara keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikannya hari ini bagi membincangkan strategi memulih dan memperkukuh ekonomi negara pasca pandemik Covid-19 khususnya dengan meningkatkan usaha memudah cara urusan perniagaan serta memperkukuh perdagangan Malaysia.

“Dalam persediaan menuju ke fasa endemik dan selari dengan pertumbuhan ekonomi global yang semakin rancak, usaha mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, berdaya saing dan meningkatkan produktiviti wajar dijadikan agenda utama di setiap peringkat pentadbiran kerajaan pusat serta kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mesyuarat EAC itu turut dihadiri Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed serta para pegawai kanan kerajaan dan wakil ahli perniagaan yang mewakili industri melibatkan ekonomi.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat berkenaan turut secara prinsip bersetuju mewujudkan Portal Maklumat Tunggal iaitu portal komprehensif merangkumi semua maklumat merentasi rantaian nilai eksport untuk memudahkan syarikat Malaysia terlibat secara aktif di peringkat global.

Selain itu, inisiatif #MyMudah akan turut diperkukuh melalui penubuhan Unit #MyMudah di semua kementerian dan agensi kerajaan persekutuan.

“Unit yang sama juga dicadangkan ditubuhkan di peringkat kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta persatuan industri perlu bersama-sama memudahkan operasi perniagaan.

“Unit ini berfungsi untuk mengadakan semakan peraturan secara terancang bagi memudahkan persekitaran perniagaan untuk melonjakkan produktiviti dan daya saing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata, mesyuarat berkenaan juga mahu setiap kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta agensi kerajaan persekutuan dan negeri komited merealisasikan program ujikaji peraturan yang melibatkan pemegang taruh awam dan swasta secara bersama, menilai kecekapan dan kesesuaian peraturan sedia ada, seterusnya mencadangkan beberapa kelonggaran peraturan berpandukan saranan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat membantu memudahcara urusan perniagaan seperti kelulusan permit pembinaan dan lesen operasi perniagaan di peringkat persekutuan dan juga negeri.

Ismail Sabri berkata, satu penanda aras antarabangsa juga akan dibuat terhadap negara-negara yang dikenal pasti mempunyai persekitaran perniagaan kondusif, khususnya dalam aspek digitalisasi, model perniagaan yang efisien, keterbukaan pasaran dan tahap sokongan kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

Dalam soal meningkatkan daya saing eksport negara, aspek pendigitalan ekosistem perniagaan telah dikenal pasti sebagai salah komponen utama dalam Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (RTPN) 2021-2025 yang telah dilancarkan.

Di samping itu, katanya, negara juga menyasar peningkatan sumbangan eksport sektor PMKS daripada 8.5 peratus pada 2020 kepada 25 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara selari dengan sasaran yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Kerajaan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya melalui pemulihan sektor ekonomi yang akan menekankan kepada keupayaan daya saing industri dan penciptaan peluang,” katanya. - Bernama